Thursday, September 12, 2019

Bulan akhirnya berkibar di PWTC


Kali pertama dalam sejarah apabila bendera PAS berkibar di ibu pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Bendera ‘Bulan’ itu dikibarkan bersama bendera Umno ‘Sang Saka Bangsa’ menjelang Himpunan Penyatuan Ummah pada Sabtu ini.

Umno Online melaporkan lebih 10,000 pengunjung dijangka membanjiri PWTC bermula esok.

Program bermula dengan zikir munajat Wanita Umno dan Muslimat PAS selain program bersama Puteri dan Ameerah PAS pada sebelah pagi.

Selepas solat Jumaat akan diadakan solat hajat dan disusuli “Wacana Intelektual Penyatuan Ummah” anjuran Penerangan Umno, selain Himpunan Anak Muda yang dikendalikan bersama antara Pemuda Umno dan Pemuda PAS di Dataran PWTC.

Pada malamnya pula, akan diadakan Ceramah Perdana Penyatuan Ummah di Plaza Merdeka yang menampilkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada Sabtu, hari kemuncak, piagam kerjasama Umno dan PAS akan ditandatangani oleh presiden kedua-dua parti, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang.

Susulan pilihan raya umum lalu, pakatan Umno-PAS terbukti berjaya dalam tiga pilihan raya kecil, iaitu di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Ketika ini, BN-Umno memiliki 38 kerusi Parlimen manakala PAS pula memegang 19 kerusi. BN-Umno juga mengawal negeri Pahang dan Perlis manakala PAS membentuk kerajaan di Kelantan dan Terengganu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-