Wednesday, September 18, 2019

Gabungan Pas-UMNO mampu rampas Kedah

Mohd. Hafiz Abd. Mutalib
18 September 2019

NAWAWI AHMAD

DATUK Seri Mukhriz Mahathir (Parlimen Jerlun);
Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena);
Datuk Johari Abdul (Sungai Petani) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) antara nama-nama besar dari Pakatan Harapan (PH) dijangka tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Kedah jika berlaku pertembungan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN)-Pas dalam pilihan raya tersebut.

Malah, jika dicampur undi BN dan Pas dalam keputusan pilihan raya lalu, sekurang-kurangnya lapan lagi Parlimen serta 32 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mampu dirampas oleh gabungan tersebut dalam PRU-15.

Sebagai contoh, jika diambil kira dalam pilihan raya lalu, Mukhriz yang memperolehi keseluruhan 18,695 undi berjaya menewaskan calon BN, Datuk Othman Aziz dan Pas, Abdul Ghani Ahmad dengan majoriti 3,270 undi.

Namun jika dicampur undi Othman dan Abdul Ghani masing sebanyak 12,413 undi dan 12,829 undi, gabungan Pas-BN itu memperolehi sebanyak 25,242 undi sekali gus mampu menewaskan Muhkriz dengan majoriti 6,547 undi.

Itu hanya kiraan mudah apabila dicampur undi BN dan Pas dalam pilihan raya lalu. Tidak mengambil kira lagi sentimen rakyat yang mula menolak PH selepas kecewa dengan beberapa perkara khususnya kegagalan menunaikan janji dalam manisfesto mereka.

Begitu juga di kawasan lain, gabungan Pas dan UMNO boleh dikatakan mampu menyapu hampir keseluruhan kerusi DUN dan Parlimen di Kedah.

Dalam PRU-14, PH Kedah menang dengan 18 kerusi DUN, Pas mendapat 15 kerusi dan tiga kerusi dimenangi oleh BN daripada keseluruhan 36 kerusi.

Selepas itu, PH menambah satu lagi kerusi DUN menjadikan 19 kerusi, susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak daripada BN, Datuk Dr Ku Abd. Rahman Ku Ismail mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Manakala bagi kerusi Parlimen, PH menguasai 10 kerusi, Pas (tiga) dan BN (dua) daripada keseluruhan 15 kerusi Parlimen di Kedah.

Ternyata gabungan Pas-UMNO di Kedah mampu menggoncangkan PH yang sudah pasti perlu mencari formula berkesan jika tidak mahu kehilangan Kedah dalam pilihan raya nanti.

Ketika ini, PH juga masih belum selesa apabila hanya mempunyai kelebihan dua kerusi di Kedah dan itu pun selepas seorang wakil rakyat BN mengambil keputusan melompat parti.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad ketika berkongsi pandangan mengenai gabungan tersebut berkata, beliau percaya BN dan Pas mempunyai peluang besar untuk menang di Kedah dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, sejak daripada dahulu lagi, UMNO dan Pas merupakan dua parti yang berpengaruh berbanding parti lain.

"Kita tewas dalam pilihan raya lalu disebabkan fitnah dan janji-janji manis yang dimainkan oleh PH. Saya percaya rakyat sudah mula sedar dengan perkara itu dan akan kembali memilih gabungan UMNO dan Pas ini. Sekurang-kurangnya saya percaya kita mampu menang 32 kerusi DUN dan 12 Parlimen dalam PRU-15," katanya.

- UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-