Saturday, September 21, 2019

Gambar Ahmad Zahid, Abdul Hadi ‘berkahwin’ cetus amarah warga maya

21 September 2019 8:47 PM


KUALA LUMPUR 21 Sept. - Penularan gambar memaparkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disunting memakai pakaian perkahwinan dipercayai dicetak oleh akhbar Cina mencetuskan rasa tidak senang warganet.

Gambar berkenaan dipercayai sebagai sindiran kepada kerjasama antara parti UMNO dan Pas melalui permeteraian piagam bersama dua parti itu semasa Himpunan Penyatuan Ummah, minggu lalu.

Penerbitan gambar yang disifatkan bertujuan mempersenda dan tidak sensitif pada umat Islam itu dianggap keterlaluan oleh warga maya.

Gambar berkenaan mula dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook, Abi Fateh hari ini.

"Ko (kau) tak puas hati dengan perpaduan ummah, ko punya pasal la, yang ko edit (sunting) gambar presiden kami dah kenapa?

"Satu penghinaan kepada ulama, cadangan saya, saman surat khabar ini, demonstrasi aman depan pejabat dia tuntut mohon maaf, setuju?," katanya.

Setakat pukul 8.15 malam ini, hantaran di Facebook oleh Abi Fateh tersebut mendapat lebih 2,000 tanda suka, lebih 1,000 komen serta lebih 2,300 perkongsian.

Sementara itu, rata-rata pengguna Facebook yang meninggalkan komen pada hantaran tersebut menyifatkan penyiaran artikel tersebut sebagai tindakan tidak bertanggungjawab serta biadab selain menggesa pihak terlibat membuat permohonan maaf.

"Tidak mengapa, mereka buat macam ini lagi menguatkan perpaduan ummah. Jangan mudah melatah, ambil iktibar dan kuatkan lagi perpaduan kita," kata Md. Helmi menerusi hantaran komennya.

"Biadab ni, melampau. Tidak cukup dengan kata-kata ini dengan gambar pula. Ambil tindakan #pdrm," ujar Azrina Sadiman.

"Selidik dulu sebelum ambil tindakan, kalau betul, saman," kata Raja Osman Raja Jalaludin.

- UTUSAN ONLINE.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-