Sunday, September 8, 2019

Ganti skim pencen dengan kontrak tak libat penjawat sedia ada

Bernama
-September 8, 2019 7:17 PM

Ismail Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Cadangan menggantikan skim tetap dan berpencen tidak melibatkan penjawat awam sedia ada, dan ia hanya melibatkan lantikan baru bermula tahun hadapan, kata Ketua Setiausaha Negara, Ismail Abu Bakar.

Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan masih dalam peringkat kajian, dan masih belum diputuskan.

“Mungkin tahun depan baru dapat keputusan, untuk melaksanakan cadangan berkenaan atau memerlukan penambahbaikkan.

“Kita sedia maklum tentera dan polis semua perkhidmatan awam yang memerlukan kesinambungan, sama ada mereka terlibat atau tidak atau perkhidmatan awam sahaja yang terlibat,” katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja KSN di Unit Tindak Khas Polis Diraja Malaysia, di Lapang Sasar Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am Cheras.

Pada Rabu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Borhan Dolah berkata mulai tahun depan, lantikan baru dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat bawah skim tetap dan berpencen, sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018, yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfrasa dan lantikan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan kenaikan gaji anggota polis, beliau berkata perkara berkenaan masih dalam kajian dan bergantung kepada kemampuan kewangan negara.

“Selain itu, penstrukuran elaun pasukan anggota keselamatan negara akan juga ditambah baik dari semasa ke semasa dan dilihat secara keseluruhan,” katanya.

Mengulas kejadian Mejar Mohd Zahir Armaya terkena tembakan maut ketika membuat pertunjukan cara di pelancaran Divisyen Ke-5 Infantri dan Briged Ke-13 Infantri di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, pada Sabtu, Ismail berkata penggunaan peluru hidup tidak dapat dielakkan.

“Sebagai anggota elit, mereka memang memerlukan latihan menggunakan peluru hidup untuk memberanikan diri bagi mengambil tindakan sebenar,” katanya.

Zahir, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas dan anak kepada pelakon veteran A.R Badul, dilapor meninggal dunia pada 9.20 pagi di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu selepas dimasukkan ke Unit Kecemasan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-