Tuesday, September 10, 2019

Menjelang Himpunan Ummah, PAS tuduh PH cuba pecahkan kesatuan Melayu

FMT Reporters
-September 10, 2019

Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa hasrat PH sebenar adalah untuk memecahkan kesatuan pengundi Melayu, yang sebahagian besarnya tidak menyokong PH.

PETALING JAYA: Menjelang himpunan hujung minggu ini, PAS menuduh Pakatan Harapan berhasrat memecahkan pengundi Melayu yang sebahagian besarnya tidak menyokong PH, dengan menggambarkan kerjasamanya dengan Umno bermotifkan perkauman dan mengundang konflik.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man menolak apa yang didakwanya propaganda PH, menjelaskan PAS dan Umno hanya mahu mentautkan semula orang Melayu “yang merupakan tonggak politik” dengan Islam sebagai “teras penyatuan”.

“Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad juga pernah mengatakan bangsa Melayu telah berpecah belah,” katanya dalam kenyataan hari ini. “Oleh itu, tidak salah jika PAS dan Umno mengukuhkan kembali kekuatan dalam kalangan 70% pengundi Melayu.”

“Hasrat PH sebenar adalah untuk memecahkan kesatuan 70% ini,” tambahnya, merujuk kepada dapatan Merdeka Center dan Kumpulan KRA mengenai pecahan sokongan mengikut kaum pada Jun 2018.

PAS dan Umno, masing-masing parti Islam dan Melayu terbesar, merancang untuk mengadakan Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 13 dan 14 Sept ini, bagi menggembleng kekuatan Gagasan Sejahtera dan Barisan Nasional menuju pilihan raya umum ke-15.

Tuan Ibrahim berkata jentera PH semakin agresif menggambarkan kerjasama PAS dan Umno sebagai tindakan rasisme dan ekstremisme, dan turut mendoktrinkan kempen mengutamakan produk orang Islam sebagai agenda memboikot barangan orang bukan Islam.

“Doktrin pecah dan perintah sangat sinonim dengan agenda PH untuk bongkak berkuasa,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, penyatuan ummah suatu tuntutan mendesak kerana isu-isu yang “jelas mengugat status quo” seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Statut Rom, Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), LGBT, pilihan raya kerajaan tempatan, serta keistimewaan Bumiputera.

Tuan Ibrahim memberi jaminan ia tidak akan meminggirkan orang bukan Islam, dan banyak perbincangan dirintis dengan MCA dan MIC bagi membetulkan pelbagai salah faham.

“Penyatuan ummah ini akan menguntungkan rakyat,” katanya.

Pada Jun tahun lepas, akhbar Singapura, Straits Times (ST) melaporkan hanya 25-30% pengundi Melayu memilih PH berbanding kira-kira 95% pengundi Cina dan 70-75% pengundi India pada pilihan raya umum ke-14, memetik kajian Merdeka Center.

Kajian itu juga mendapati kira-kira 35-40% pengundi Melayu memilih Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno dan 30-33% menyokong PAS.

Ini bermakna minimum 65% atau maksimum 73% orang Melayu bersama pembangkang nasional.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-