Friday, September 20, 2019

Najib: Kalau zaman BN, kita akan sediakan penempatan

Naimmullah Jaya
Diterbitkan Hari ini 4:58 petang


Bekas perdana menteri, Najib Razak melabel tindakan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang merobohkan rumah penduduk di Kampung Kedondong, Paya Jaras Hilir pada Rabu lalu sebagai kejam dan sesuatu yang tidak berperikemanusiaan.

Katanya, jika tindakan tersebut perlu dibuat sekalipun ketika zaman Barisan Nasional (BN), sudah pasti penduduk tidak akan dibiarkan tinggal sehelai sepinggang sepertimana yang berlaku hari ini.

"Kalau pada zaman BN pasti kita akan sediakan penempatan sementara atau tetap.
"Saya dapati bahawa tindakan pihak berkuasa boleh disifatkan sebagai sesuatu yang sangat kejam, dan tidak ada ihsan dan tidak ada hati perut sama sekali.

"Saya nak tekankan, kalau dalam zaman kerajaan BN, perkara seperti ini tidak akan berlaku,” katanya.

Najib sebelum itu meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk yang terjejas di kawasan penempatan sementara yang didirikan itu.

Beliau juga menyifatkan keadaan semasa itu sebagai tidak selesa dan boleh menimbulkan tekanan kepada keadaan fizikal dan emosi penduduk yang terjejas itu.

"Cuba bayangkan dalam kumpulan ini ada bayi yang berumur empat tahun dan ada seorang wanita yang kena kanser peringkat tiga di dalam kumpulan ini.
"Selain dariapda itu, di bawah kumpulan ini ada juga rumah yang ada geran. Ada yang tidak ada geran. Sepatutnya ada tidak ada geran, tidak ada geran sekalipun kena sediakan penempatan sementara," katanya.

Najib pada masa sama mempersoalkan alasan pihak berkuasa merobohkan rumah penduduk di situ selepas dimaklumkan oleh wakil penduduk bahawa mereka membayar semua cukai seperti taksiran, pintu dan tanah sebelum ini.

Dia juga menggesa pihak kerajaan negeri agar menyelesaikan masalah penduduk yang dialami dengan menyediakan penempatan sementara.

Mengulas mengenai status kewarganegaraan penduduk yang didakwa sebagai pendatang tanpa izin, Najib memberitahu ia "sebagai cerita mengarut dan cuba untuk mengelirukan orang ramai".
Sebelum ini, Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, berkata perobohan tersebut dijalankan bagi mengatasi masalah banjir di empat kampung di Paya Jaras dengan penduduk terlibat telah menerima notis pertama sejak tahun 2015.

Bagaimanapun, katanya, projek rancangan tebatan banjir itu telah tertangguh kerana ada penduduk yang enggan berpindah sehingga menyebabkan masalah banjir terus dihadapi penduduk Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu.

Projek membabitkan kos RM5.93 juta itu dirancang sejak 2008, bermula pada Disember 2015 dan sepatutnya disiapkan pada Mei 2017.

Pada 18 September lalu, lebih 30 daripada 74 buah rumah yang terbabit di kawasan itu dirobohkan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-