Tuesday, September 10, 2019

Polis tahan setpol Anwar


Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang hari ini menyerah diri di ibu pejabat polis daerah Ampang, Kuala Lumpur untuk membantu dalam kes siasatan merusuh, ditangkap oleh polis sebaik ketibaannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Farhash, yang juga adalah setiausaha politik kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, telah memberikan kerjasama kepada polisi dalam membantu siasatan.

“Proses siasatan telah dijalankan ke atas suspek. Ujian saringan awal air kencing juga telah dibuat dan didapati negatif dari sebarang jenis dadah.

“Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis pada pada jam lebih kurang 5 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadzil berkata kes itu akan dirujuk kepada pendakwa raya.

Sebelum ini, seorang lelaki mendakwa Farhash dan beberapa individu lain menyerangnya di luar kompleks sukan di Ampang pada 31 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu mendakwa diserang sekumpulan individu bersenjata topi keledar, pisau dan kerusi, walaupun tiga sahabatnya telah cuba menghentikan serangan.

Pengadu mendakwa mengalami kecederaan di bahagian tisu pinggang, luka di bahagian anggota badan dan sakit di bahagian kemaluan.

Lima lelaki, berumur lingkungan 22 dan 28 telah ditangkap susulan kejadian tersebut.

Pengadu kemudiannya menarik balik laporan polisnya.

Sementara itu, Farhash dalam satu kenyataan media, petang tadi berkata beliau telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

"(Saya) telah dimaklumkan bahawa pengadu telah menarik balik laporan terhadap adik saya serta menafikan penglibatan saya dalam kes ini.

"Pengadu juga gagal mengenalpasti saya sebagai salah seorang yang terlibat sewaktu sesi pengecaman dilakukan," katanya.

Farhash berkata beliau ke balai polis Ampang untuk memberikan keterangan sebaik sahaja pulang dari aktiviti menyelam.

"Adalah diharapkan semua pihak dapat menyerahkan siasatan ini kepada polis dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengelirukan," katanya.

Ahad lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dalam satu sidang media di ibu negara berkata usaha mengesan Farhash masih dijalankan walaupun mangsa dalam kes itu sudah menarik balik laporan polis yang dibuat.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-