Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Tuesday, September 10, 2019

Tolong produk Muslim baik untuk bukan Islam - Mufti

Yasmin Ramlan


Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin percaya kempen menyokong pembelian produk keluaran Muslim bukan sahaja dapat memperkasakan ekonomi mereka, malah baik untuk bukan Islam.

Katanya, kempen 'beli produk Muslim dulu' itu secara tidak langsung membantu peniaga atau usahawan Muslim berdikari tanpa mengharapkan insentif Bumiputera dari kerajaan.

“Saya percaya saudara-saudara non Muslim dalam negara ini, jika orang Islam senang dan mereka (orang Islam) kuat ekonomi mereka, pada masa itu kita (Islam-bumiputera) tak perlu lagilah bantuan-bantuan khusus untuk Bumiputera.

“Dengan itu, saudara (bukan Islam) juga akan puas hati satu hari nanti dan tak timbul lagilah perasaan tak puas hati kerana semua dah kaya.

“Sekarang ni rasa tak puas hati ni adalah disebabkan faktor ekonomi. Tapi kalau saudara jadikan semua orang kaya macam saudara, tak ada orang marah,” katanya.

Asri menegaskan kempen berkenaan bukan bertujuan memboikot barangan bukan Muslim dari pasaran atau mewujudkan sentimen perkauman dan kebencian terhadap sesuatu agama.

Sebaliknya, katanya, ia hanya bertujuan untuk mendahulukan barangan keluaran Muslim.

Beliau berkata demikian pada forum “Kempen produk Muslim: Boikot atau bantu?” di Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur malam tadi.

Forum tersebut turut menampilkan panelis Pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Rozaimi Ramle dan ketua aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan.

Kempen “beli produk Muslim dulu” dikesan sejak akhir tahun lepas, bertujuan menggalakkan pembelian produk keluaran Muslim.

Kempen itu kurang mendapat perhatian sehingga sekitar Ogos, apabila semakin ramai orang menyertai laman dan kumpulan kempen tersebut di media sosial.

Bagaimanapun, terdapat penyokong kempen itu bersikap lebih ekstrem dengan mengajak orang ramai memboikot produk bukan Muslim.

Peniaga Muslim juga kena ubah mentaliti

Rozaime berkata, pengusaha Muslim juga perlu mengubah mentaliti mereka dengan berdisplin ketika menjalankan perniagaan dan tidak mengambil kesempatan.

Katanya, mereka seharusnya menjalankan perniagaan bersungguh-sungguh dengan menyediakan kualiti dan khidmat terbaik.

“Orang Muslim bila berniaga kena ubah mentaliti, ambil peluang bukan ambil kesempatan, jual benda yang berfaedah, bukan jual produk sampah. Kadang-kadang produk tak ada khasiat, dia tambah.

“Saya tak nafi, saya sendiri sebagai Muslim kadang-kadang bila kita nak tolong orang Muslim, disiplin tak ada (dalam kalangan) peniaga Muslim.

“Kita pergi kedai tutup, tutup tiba-tiba tanpa ikut jadual, lama-lama orang fed up, layanan tak bagus, kadang-kadang dia main tengking-tengking. Manusia ada jiwa dan perasaan,” katanya.

Tambahnya, sekiranya orang Islam terasa hati dengan komen bukan Islam serta berhasrat nak bantu perniagaan orang Islam, peniaga harus menjalankan perniagaan bersungguh-sungguh.

“Dalam masa yang sama, kita tidak menindas orang bukan Islam. Kita tak boikot tapi utamakan produk Muslim sebab kadang-kadang mereka berniaga produk baru nak naik,” katanya.

Sementara itu, apabila diminta mengulas mengenai sikap sesetengah pengusaha Muslim yang menjalankan perniagaan acuh tak acuh, Nadzim menegur bahawa mereka sewajarnya mencontohi sikap disiplin dari orang Jepun.

Nadzim juga menyifatkan akhlak orang Jepun 'lebih Islam' berbanding orang Melayu-Islam sendiri.

“Kita kadang-kadang tanya kenapa orang Melayu jadi macam ni? Kita Melayu kebetulan dikaitkan dengan Islam.

“Melayu lemah, Islam pula jadi gambaran yang tidak baik,” katanya.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-