Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Friday, October 18, 2019

KDN siasat komik didakwa berunsur propaganda



Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam penerbitan dan pengedaran komik didakwa berunsur propaganda yang dipercayai diedarkan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan laporan awal oleh Bahagian Keselamatan KDN, terdapat perkara yang tidak betul dalam komik itu, sekali gus wajar untuk tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang menerbit dan mengedarkan komik itu.

Beliau berkata pihaknya sudah mengenal pasti identiti pihak yang terbabit termasuk pengarangnya dan akan meminta Bahagian Keselamatan KDN untuk mengambil keterangan daripada pihak berkenaan.

“Kita tidak boleh ambil tindakan terburu-buru malah akan menyiasat secara terperinci bagaimana perkara itu berlaku,” katanya pada sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di Pontian, hari ini.
Menurutnya, beliau dimaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah meminta supaya edaran komik berjudul ‘ Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ ditarik balik.

Malah, KPM, semalam, dalam kenyataan, menegaskan pihaknya tidak pernah memberi kebenaran atau kelulusan untuk pengedaran komik berkenaan.

Muhyiddin menjelaskan kandungan mana-mana bahan untuk edaran di institusi pendidikan tidak boleh boleh melampaui batas politik, soal negara asing mahupun kefahaman politik tanpa kebenaran kementerian.

“Kalau bahan itu cerita Upin Ipin tidak mengapa, tetapi kalau ceritanya melampaui soal batas politik, soal negara asing atau mengaitkan kefahaman politik, komunisme...tidak bolehlah,” katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan sekumpulan wakil lima badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi di pintu pagar Universiti Malaya hari ini bagi menzahirkan sokongan terhadap Naib Canselor universiti itu, Dr Abdul Rahim Hashim yang menurut mereka ‘ditekan’ pihak tertentu untuk meletakkan jawatan, Muhyiddin berkata ia terserah kepada kebijaksanaan pentadbiran universiti berkenaan untuk menyelesaikannya.

Ini susulan tindakan seorang graduan protes terhadap Abdul Rahim selepas menerima ijazah pada konvokesyen, baru-baru ini.

“Ikut aturan yang ada, kalau didapati dilakukan pelajar atau pegawai pun, maka pihak mereka (universiti) ada kuasa mengambil tindakan sesuai asalkan berlaku adil dan berikan peluang untuk didengar sebelum tindakan lanjut diambil.

“Saya diberitahu mereka sudah lapor polis. Yang penting universiti ada autonomi dan kuasa tertentu untuk mengawal pelajar termasuk disiplin dan apa pun pelajar tidak kira dia kaum Cina, Melayu, India, mesti bersikap tertib dan hormat, jangan buat tohmahan,” katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-