Tuesday, October 22, 2019

'Komik BRI cuba nafi sejarah Tanah Melayu'


Dewan Ulama PAS membantah sekeras-kerasnya komik kontroversi karya Hew Kuan Yaw yang didakwa cuba menafikan sejarah asal Tanah Melayu.

Ketua penerangannya, Mohd Nor Hamzah berkata, orang ramai sudah sedia maklum bahawa Tanah Melayu ini penduduk asalnya dihuni oleh kaum Melayu.

"Dan cubaan penafian tersebut berniat jahat bagi menjayakan agenda 'Malaysian Malaysia'.

"(Ini) sikap prejudis yang jelas dengan menjatuhkan imej kaum Melayu dalam isu kemerdekaan. Sedangkan perjuangan memerdekakan Tanah Melayu dari penjajah telah pun ditiupkan semangat jihad oleh para ulama yang membantah keras penjajahan dan sistem zalim yang dikenakan oleh penjajah.

"Malang sekali, apabila komik tersebut cuba mendoktrin para pembaca kalangan pelajar sekolah dengan ideologi seleweng kononnya Bintang 3 dan Komunis dilihat hero dalam isu memerdekakan negara," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Terdahulu, komik Jalur dan Laluan (BRI) China itu adalah komik terbitan Muzium Kebudayaan Komik Asia dengan Hew - atau turut dikenali dengan gelaran Superman - menjadi pencerita, manakala Chong Po Ling menjadi pelukisnya.

Ia menjadi kontroversi selepas diedarkan kepada sekolah tertentu di Pulau Pinang.

Susulan itu, kerajaan menegaskan bahawa komik tersebut diedarkan tanpa kebenaran, manakala Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan tidak terlibat dalam penerbitannya.

Sebagai rekod Hew mula dikenali ramai kerana kelantangannya di pentas-pentas ceramah DAP. Dia bagaimanapun meninggalkan parti terbabit pada 2016.

Hew kemudian dilantik menjadi ketua pegawai ekskutif Majlis Perniagaan Bersama China-Malaysia pada awal tahun ini.

Sementara itu Mohd Nor berkata, pihaknya mendesak agar pihak berwajib mengambil tindakan tegas ke atas dalang bagi isu penyebaran komik yang menjadi kontroversi hangat dalam kalangan masyarakat dan di Dewan Rakyat.

Katanya, amat dikesali apabila komik kontroversi tersebut diedar ke sekolah sedangkan isi kandungannya jelas sekali bercanggah dengan fakta sejarah malah ia boleh dikaitkan sebagai satu hasutan berniat jahat.

"Dewan Ulama PAS mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelukis komik atas hasutan yang dilakukan menerusi kandungan yang menimbulkan kontroversi.

"Tindakan juga perlu ke atas dalang edaran komik tersebut ke sekolah-sekolah kerana jelas melanggar etika persekolahan dalam cubaan mendoktrin para pelajar dengan sesuatu yang jelas bertentangan dan pimpinan parti yang bersubahat dan bersekongkol dalam edaran komik kontroversi ini," katanya.

Justeru tambahnya, orang ramai di setiap peringkat disarankan untuk mengambil langkah proaktif dengan membuat laporan polis bagi memastikan satu tindakan serius lagi tegas untuk menangani doktrin jahat ini.

"Dengan kecaknaan orang ramai dalam isu sebegini diperlukan sebagai tanda bahawa sebarang ideologi dan doktrin yang salah di sisi agama dan perlembagaan tidak boleh disebarkan bagi menjamin kesejahteraan negara dan masyarakat," kata Mohd Nor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-