Saturday, October 12, 2019

Kula serah polis siasat dakwaan terbabit LTTE

Bernama
-October 12, 2019 9:44 PM

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

IPOH:  Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran menyerahkan kepada pihak polis siasatan berhubung tuduhan bahawa dirinya terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini.

Beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah semata-mata berdasarkan gambar yang tersebar di laman media sosial tanpa sumber yang diketahui.

“Tidak adil membuat tuduhan terhadap seseorang itu terlibat dengan mana-mana kumpulan pengganas hanya dengan gambar yang tersebar di media sosial.

“Saya ada banyak gambar tersebar. Apa yang saya perlu cakap?

“Kalau pembuat gambar itu boleh tampil membuat dakwaan kepada saya, saya akan jawab kepada dia, jadi jangan mudah percaya dengan apa yang tersebar dalam aplikasi Whatsapp atau internet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Prihatin JobsMalaysia 2019 di sini, hari ini.

Ditanya tentang pendiriannya mengenai LTTE, Kula Segaran yang juga naib pengerusi DAP memaklumkan beliau hanya bersimpati terhadap mangsa berikutan perkara yang berlaku di negara lain adalah urusan dalaman mereka.

Sebelum ini, tular satu gambar yang didakwa kononnya Kula Segaran bersama pemimpin kanan LTTE.

Polis baru-baru ini dilaporkan menahan tujuh individu, termasuk dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Negeri Sembilan dan Melaka berhubung pembabitan mereka dalam menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Kula Segaran berkata, pihak polis perlu mendakwa sesiapa yang terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE di mahkamah sekiranya mempunyai fakta dan bukti yang kukuh.

Dalam perkembangan lain, Kula Segaran berkata, kesesakan di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka akan dapat diatasi menerusi inisiatif pembinaan pusat rehabilitasi yang baru di Perak.

Katanya, beberapa lokasi di seluruh Perak dikenal pasti untuk dijadikan lokasi hospital dan pusat rehabilitasi berkenaan.

“Pusat baru itu akan dilengkapi dengan teknologi terkini, termasuk robotik, rawatan trauma dan pusat kecemerlangan bagi mencegah kemalangan dengan kerjasama agensi berkaitan,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 mengumumkan pusat rehabilitasi bernilai RM500 juta akan dibina di Perak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-