Saturday, October 19, 2019

Larang Kempen #BMF Dalam Kawasan Masjid, UMMAH Jawab Tuduhan Exco Perak



KUALA LUMPUR – Fitnah dilemparkan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi yang mengaitkan kempen Beli Produk Muslim (BMF) sebagai suatu kempen politik, adalah tindakan keji serta terkutuk.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Haji Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan Asmuni bahawa Islam hanya mengajar kita mengutamakan produk halal dan bukannya produk muslim jelas menunjukkan kecetekan dan ketidakjujuran Exco itu dalam berbicara mengenai Islam.

Beliau menegaskan, BMF adalah gerakan rakyat daripada pelbagai latar belakang untuk mengutamakan produk muslim tanpa mengira parti, dengan syarat beragama Islam supaya ekonomi muslim diperkukuhkan.

“Islam mengajar kita supaya saling bantu-membantu sesama muslim terutamanya dalam membina kekuatan ekonomi umat, apatah lagi umat Islam kini sedang jauh kebelakang dan lemah ekonominya.

“Kita semua sedar peniaga-peniaga muslim selama ini terpinggir di mana orang Melayu (yang semuanya beragama Islam) dicatatkan sebagai golongan termiskin sejak sekian lama di tanah ini. Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk berjihad membantu dan membangunkan ekonomi ummah.

“Oleh itu, kempen BMF adalah cara paling berkesan dan baik untuk kita saling menolong di mana semua orang berpeluang untuk ambil bahagian,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Berita berkaitan;
KM Pulau Pinang Gesa NGO Hentikan Kempen Utamakan Beli Produk Muslim
Orang Islam Berhak Beli Barang Pilihan Sendiri, Wee Ka Siong Bidas Lim Guan Eng
Lagi Kerap DAP Bantah, Lebih Ramai Sertai Kempen Utama Produk Muslim – Najib

Terdahulu, Kerajaan Perak melarang sebarang penganjuran kempen BMF di dalam kawasan masjid selepas perkara itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), semalam.

Asmuni berkata, keutamaan diberikan kepada promosi kempen Beli Barangan Halal Dahulu seperti yang sedang dilaksanakan kerajaan. Malah kata beliau, penganjuran BMF dilaksanakan bukan untuk kepentingan umum, tetapi bagi tujuan politik pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, pendirian Asmuni jelas bercanggah dengan Mufti Perak yang menyokong penuh BMF dengan hujah serta dalil yang kuat.

“Jauh sekali jika dibandingkan dengan ‘alasan’ yang diberikan oleh YB Asmuni ini. Dengan pendirian beliau yang bacul sebegini, jelas beliau tidak layak menjadi Exco Agama dan kelemahan beliau ini dilihat seolah-olah sedang dipergunakan oleh pihak tertentu sahaja.

“Menteri Besar Perak perlu memecat beliau dan menggantikan dengan orang lain yang lebih layak. Kita juga menyeru agar rakyat Perak menolak dan mengabaikan arahan Exco Agama ini. Teruskan istiqamah kita dalam membangunkan ekonomi umat melalui kempen ini. Insya-Allah,” kata beliau.

 – IsmaWeb

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-