Sunday, October 13, 2019

Masalah puak bukan punca ada pemimpin tak hadir konvensyen, kata Anwar

Susan Loone
Diterbitkan Hari ini 6:34 petang


Anwar Ibrahim menafikan masalah kepuakan dalam PKR punca sejumlah pemimpin tinggi parti itu tidak hadir di Konvensyen PKR Pulau Pinang di Bukit Mertajam hari ini.

Presiden PKR itu berkata, ini kerana konvensyen itu dihadiri oleh 90 peratus perwakilan.

"Sejumlah 90 peratus kehadiran bukan kepuakan (factionalism). Orang selalu kata kita ada (masalah) puak. Di Johor, kehadiran 100 peratus. Semua cabang hadir. Mereka yang tak hadir, anda tanyalah mereka.

"Di Selangor, Menteri Besar Amirudin Shari berjumpa untuk membincangkan konvensyen seterusnya. Ini positif.

"Untuk satu ada dua peratus (yang tak hadir), siapa ada 100 peratus dalam dunia ini?" katanya ketika sidang media selepas menyampaikan ucapan di konvensyen itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengapa pemimpin seperti Anggota Parlimen Nibong Tebal Mansor Othman, Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin tiada di konvensyen hari ini.

Anwar berkata Izzah menghadiri sebuah konvensyen di Kuala Lumpur, manakala Afif kini di Amerika Syarikat.

"Saya tidak tahu sebab Mansor tak hadir," katanya lagi.

Masalah kem dalam PKR dilihat semakin memuncak ketika pemilihan parti tahun lalu.

Antara yang dapat dilihat ialah ketidakhadiran pemimpin seperti Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin dalam mesyuarat parti.

Bulan lalu, Zuraida berkata beliau tidak akan menghadiri mana-mana mesyuarat parti selagi Anwar enggan mengadakan pertemuan dengannya, Azmin serta sejumlah lagi pemimpin PKR untuk rekonsiliasi.

Bagaimanapun Anwar menolak pertemuan itu dan berkata mereka boleh berjumpa dengannya dalam mesyuarat biasa yang diadakan PKR.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-