Wednesday, October 9, 2019

Program subsidi petrol : Harga barang dijangka meningkat

rhg
October 9, 2019


Rakyat perlu bersedia menghadapi kenaikan harga barangan susulan keputusan kerajaan melaksanakan pemberian subsidi bersasar kepada 2.9 juta golongan B40 menerusi Program Subsidi Petrol (PSP) bermula 1 Januari tahun depan.

Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, harga petrol RON95 dijangka meningkat apabila kerajaan melaksanakan pengapungan harga petrol berkenaan.

“Harga RON95 mungkin meningkat dalam lingkungan 20 peratus kerana subsidi dihapuskan yang akan menyebabkan kesan kepada harga barang khususnya kos pengangkutan.

“Harga barang penghantaran juga akan naik dan kos sara hidup rakyat dijangka lebih meningkat jika harga,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, program PSP itu juga dilihat kurang berkesan jika harga minyak meningkat berikutan nilai subsidi itu rendah serta bersifat tetap.

“Mereka hanya menerima RM30 untuk kereta dan RM12 sebulan untuk motosikal. Nilai ini terlampau rendah terutama bagi penerima yang bekerja di lokasi agak jauh serta kos perjalanan yang tinggi.

“Jadi ia dilihat tidak begitu berkesan dengan keperluan semasa,” katanya mengulas keputusan kerajaan untuk melaksanakan pengapungan harga petrol RON95 bermula tahun depan.

Katanya, kerajaan perlu mengambil kira golongan M40 kerana dipinggirkan daripada bantuan kerajaan walaupun mempunyai pendapatan yang belum mencukupi.

“Saya melihat PSP sebagai projek percubaan dan ia perlu diperbaiki dengan menambahkan golongan yang akan diberikan subsidi petrol bersasar,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Dr Ahmed Razman Abdul Latif berkata, kenaikan harga barangan akan berlaku apabila harga petrol diapungkan selain harga minyak dunia meningkat.

“Apabila harga minyak diapungkan akan berlaku kenaikan mendadak harga minyak dunia. Kemungkinan ada pihak akan mengambil kesempatan menaikkan harga barang serta perkhidmatan walaupun harga minyak tidak memberi kesan kepada mereka.

Bagaimanapun katanya, negara ada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan yang memastikan peniaga tidak boleh menaikkan harga barangan sesuka hati.

“Jadi penting untuk kerajaan memastikan agensi penguatkuasaan sentiasa membuat pemantauan harga selain rakyat juga perlu membantu melaporkan sekiranya ada peniaga yang mengambil kesempatan,” katanya.

Kelmarin kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 akan diapungkan bermula awal tahun hadapan berikutan pelaksanaan PSP.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, harga RON95 akan dikekalkan pada kadar RM2.08 sehingga 31 Disember depan.

Sinar

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-