Wednesday, November 20, 2019

Hadi: Dr M bak kelapa, makin tua makin menjadi

BERITA

Walaupun pernah mencadangkan Dr Mahathir Mohamad agar menjaga Klinik 1Malaysia, hari ini Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mengangkat pengerusi PH itu dengan pujian yang tinggi.

Kata Abdul Hadi, perdana menteri sekarang ibarat buah kepala yang semakin berguna apabila lebih tua.

Malah beliau menganggap Dr Mahathir adalah orang yang layak dan mampu "menyelamatkan" negara ini berbanding tokoh lain.

"Itu pendirian asas kita (PAS). Walaupun semasa pilihan raya (umum) lalu, saya pernah sebut beliau tolong jaga Klinik 1Malaysia, tetapi nampaknya beliau makin tua makin menjadi.

"Tua-tua kelapa, makin tua makin kemas untuk selamatkan negara. Orang lain belum tentu, dia (Dr Mahathir) sudah tunjukkan bukti positif," kata Abdul Hadi yang memang gemar menyampaikan idea melalui kiasan dan bidalan.

Beliau ditanya media di lobi parlimen hari ini.

Semalam Abdul Hadi menciap mengenai keadaan politik semasa dengan membayangkan DAP mahu menjadikan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, sebagai boneka.

Cemburu satu sama lain

Abdul Hadi yang sebelum ini bersikap keras kepada Dr Mahathir menukar nadanya selepas PH berjaya membentuk kerajaan pusat dan menguasai hampir semua negeri di Malaysia.

PAS mencatur gerakan untuk sekurang-kurangnya menjadi penentu kuasa (king maker) menjelang PRU ke-14 tahun lalu, selain yakin membentuk kerajaan di beberapa negeri.

Menurut Abdul Hadi, PAS berpendirian untuk menyokong Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga penggal sekarang berakhir.

Sokongan itu diberi untuk kesekian kali ketika wujud desakan daripada pihak tertentu agar Dr Mahathir berundur dan menyerahkan kuasa kepada Anwar seperti yang dipersetujui Majlis Presiden PH sebelum PRU lalu.

Baca Hadi dakwa ada DAP di belakang Anwar

Kata Abdul Hadi, PAS memberi jaminan semua 18 ahli parlimen parti itu akan tetap menyokong Dr Mahathir jika ada usul dibuat mengenainya.

Sementara itu, mengulas pendirian PAS berhubung pertemuan sulit Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, dengan lebih 20 wakil rakyat BN, Abdul Hadi berkata, pihaknya enggan mencampuri urusan tersebut.

Bagaimanapun, ketika didesak untuk memberikan nasihat kepada pemimpin yang terlibat, Abdul Hadi berkata tindakan itu ibarat perasaan cemburu antara satu sama lain.

“Saya rasa itu macam orang cemburu satu sama lain, itu terpulang parti lain.

"Kepercayaan sesama sendiri itu penting... masing-masing dapat menangani (masalah) parti berdasarkan apa yang ada dalam parti masing-masing,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-