Saturday, November 9, 2019

Maszlee: Apakah pengundi nak hukum PH dengan undi 'orang jahat'?

Ng Xiang Yi
Diterbitkan Hari ini 9:40 malam

BERITA

PRK TG PIAI | Maklum dengan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata tidak adil untuk pengundi Tanjung Piai menghukum Pakatan Harapan (PH) yang masih baru mentadbir.

Apatah lagi dengan memilih pihak yang menurutnya sebagai "terbukti jahat dan (mengamalkan) kleptokrasi".

“Adakah kita ingin menghukum orang yang membawa negara menjadi negara yang bersih, menjadi negara yang tidak kleptokrasi...dan ingin membawa kembali negara menjadi Harimau Asia?

“Adakah kita ingin menghukum orang yang baik dan mengambil orang yang telah terbukti jahat, orang yang terbukti kleptokrasi?" soalnya dalam sidang media di Kukup Laut hari ini selepas menyampaikan ucapan bersama guru-guru besar sekolah Cina.

Kata Maszlee, beliau percaya pengundi di Tanjung Piai cukup matang untuk tidak memilih “orang yang jahat” seperti yang dikatakannya.

Beliau berkata demikian apabila disoal tentang rasa tidak puas hati pengundi yang mungkin menyebabkan mereka tidak mengundi PH dalam PRK kali ini.

Baru-baru ini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yasin mengakui wujud perasaan “tidak gembira” di kalangan pengundi Cina terhadap PH, terutamanya terhadap isu ekonomi.

Sementara itu, disoal tentang ketidakpuasan hati masyarakat Cina terhadap dasar pendidikan seperti pengenalan pengajaran Jawi di sekolah, pembiayaan sekolah persendirian Cina dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman yang dimiliki MCA, Maszlee menjelaskan bahawa kerajaan PH masih dikira kerajaan yang baru.

“Kami (kerajaan) PH usia kurang daripada dua tahun. Dalam dua tahun ini banyak perkara baik kita lakukan, Ziarah Cakna (program lawatan ke rumah), Zero Reject Policy (terhadap murid berkeperluan khas), (kerajaan) lakukan segala yang terbaik.

“Jadi adalah tidak adil untuk menghukum kita yang baru kurang daripada dua tahun,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-