Saturday, November 9, 2019

Tg Piai: Pemimpin PH dakwa BN main isu kafir harbi, zimmi, burukkan DAP

Mohamad Fadli
-November 9, 2019 10:51 AM
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, budaya kafir-mengkafir boleh menghancurkan negara.

PONTIAN: Seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendakwa perbuatan Barisan Nasional (BN) memburuk-burukkan DAP dengan menggunakan gelaran tertentu menjadikan masalah perkauman di negara ini semakin buruk.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, BN dalam kempennya pada pilihan raya kecil Tanjung Piai yang sedang berjalan melabelkan ahli DAP sebagai “kafir harbi” sementara ahli MCA dianggap sebagai “kafir zimmi”.

“Kita tak nak budaya kafir-mengkafir subur dalam negara kita,” katanya ketika berucap pada satu ceramah PH di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tenggayun di sini, malam tadi.

Salahuddin berkata, budaya itu jika tidak dibendung boleh menghancurkan negara ini yang majoriti rakyatnya beragama Islam.

“Seperti Syria, Yemen. Kita antara yang aman, kita hidup dalam negara berbilang kaum dan majmuk. Walaupun berbeza agama, Lim Kit Siang datang sini. DAP minta undi calon PH, Karmaine Sardini,” katanya.

Beliau berkata, ini berbeza dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang meminta rakyat mengundi calon BN, Wee Jeck Seng.

“Saya tak nak main politik macam itu. Kita tak nak terperangkap dalam politik sempit,” katanya.

Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 16 Nov depan menyaksikan persaingan enam penjuru antara calon PPBM-PH Karmaine Sardini, calon MCA-BN Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas.

Menurut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terdapat 52,986 pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai, iaitu 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan pengundi tidak hadir luar negara.

Pada pilihan raya umum tahu lepas, calon PPBM-PH Dr Md Farid Md Rafik menang dengan majorti kecil 524 undi mengalahkan calon MCA-BN Wee Jeck Seng (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-