Friday, December 13, 2019

Isu komunis: Ronnie Liu digesa mohon maaf kepada Sultan Selangor

AKMAL MANAF


Adun DAP Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew digesa memohon maaf kepada Sultan Selangor dan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang menyatakan simpati serta mengagung-agungkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).

Gesaan itu dibuat dalam satu kenyataan bersama oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, hari ini.

Mereka berkata, sempena Ulang Tahun Keputeraan yang Ke-74, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor kelmarin, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah mengingatkan rakyat Selangor agar tidak terkeliru dengan fakta sejarah sebenar berhubung perjuangan PKM sehingga terlibat mengagung-agungkan pimpinan dan perjuangan mereka.

“Titah Tuanku lagi walaupun PKM kononnya dikatakan menentang penjajah, namun perjuangan mereka bukannya berlandaskan konsep pembentukan negara Malaysia Merdeka yang berteraskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Malah ramai anak-anak bangsa daripada pelbagai keturunan termasuklah dari pihak Polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah terkorban dan menanggung derita akibat aktiviti keganasan pihak PKM ini.

“Pas dan Umno Selangor merafak sembah dan menjunjung kasih serta taat setia atas kebijaksanaan titah Tuanku Sultan itu dan menyeru seluruh penyokong dan ahli kedua-dua parti khususnya di Negeri Selangor agar mengambil iktibar dan mengutuk sebarang usaha mengelirukan fakta sejarah, apatah lagi mengagung-agungkan pimpinan dan perjuangan PKM yang merupakan musuh negara itu,” katanya.

Justeru katanya, Pas dan Umno Selangor turut menuntut agar dengan semangat titah Tuanku Sultan ini jangan lagi ada mana-mana pihak mengambil kesempatan menganjurkan apa-apa majlis atau keramaian bagi memperingati perjuangan pengganas PKM di Negeri Selangor.

Pada 1 Disember 2019 lalu YB Ronnie Liu telah hadir sebagai tetamu khas dalam satu majlis memperingati Ulang Tahun ke 30 Perjanjian Damai Hatyai yang diadakan di Kajang.

Seramai lebih 300 veteran dan bekas pejuang PKM telah hadir dalam majlis berkenaan dan Ronnie Liu dalam ucapannya telah menyatakan simpatinya pada perjuangan PKM serta berbangga bahawa Datuk dan abangnya pernah bersama perjuangan PKM.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/isu-komunis-ronnie-liu-digesa-mohon-maaf-kepada-sultan-selangor/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-