Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Saturday, December 7, 2019

Kongres Nasional Keadilan: Ucapan hanya untuk mengangkat impian ‘satu sosok’

Oleh AKMAL MANAF


Ucapan-ucapan yang berlangsung ketika kongres hari ini hanya untuk mengangkat impian satu sosok dan menyerang serta melempar tohmahan kepada pimpinan yang lain.

Demikian luah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang keluar dari dewan kira-kira jam 3 petang ketika program sedang berlangsung,

Azmin menyifatkan, ucapan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang bermula dengan sorotan klasik tentang kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar jelas membuka laluan kepada para pembahas yang lain untuk terus melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan pimpinan dan anggota Keadilan.

“Penganugerahan yang berlangsung pagi tadi juga dilihat provokatif dan menafikan sumbangan besar pejuang-pejuang Keadilan di peringkat akar umbi yang telah memerah keringat dan berkorban demi membangunkan parti keramat ini.

“Perbahasan oleh wakil-wakil yang dipilih secara berat sebelah juga dilihat tidak membawa suara anggota akar umbi.

“Hal ini sekali gus memperlihatkan kegagalan Presiden untuk memenuhi janjinya bagi memastikan pembahas negeri patuh kepada perimeter ucapan yang telah dipersetujui bersama,” katanya.

Azmin berkata demikian dalam satu sidang media khas tergempar yang diadakan di satu lokasi kira-kira enam kilometer dari Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Zuraida Kamaruddin; Ketua Wanita Pusat, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua AMK Pusat, Hilman Idham dan Timbalan Ketua Wanita Pusat, Dr Daroyah Alwi.

Dalam pada itu, Azmin menambah harapan para perwakilan dan pemerhati supaya Ucapan Dasar Presiden memfokuskan kepada dasar dan hala tuju yang inklusif dan progresif, ternyata meleset.

Selain itu, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi turut mempertahankan ucapan dasarnya yang dibaca pada malam 5 Disember lalu yang tiada unsur menyindir sesiapa.

“Ucapan perasmian daripada saya juga telah memberi tumpuan kepada kerangka besar penyatuan anggota, pengukuhan peranan Keadilan dalam kerajaan dengan fokus memacu dasar dan kebijakan negara, tanpa sedikit pun mencuit dan menyindir mana-mana pihak.

“Kongres Nasional Tahunan ini adalah medan terbaik untuk memperkukuhkan muafakat dan juga kesatuan anggota Keadilan. Wahana ini juga adalah medan untuk membahaskan dasar- dasar parti yang kini merupakan parti peneraju dalam kerajaan.

“Menyedari hakikat dan kepentingan untuk mencapai objektif tersebut, maka Presiden dan Timbalan Presiden serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan telah bertemu dalam satu mesyuarat khas pada 4 Disember lalu untuk menangani krisis kepimpinan dalam parti berasaskan beberapa persetujuan.

“Persetujuan itu juga telah dilaksanakan oleh saya dengan cukup baik dan harmoni dalam Majlis Perasmian Bersama Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda & Wanita Keadilan yang berlangsung dengan tertib dan gilang gemilang pada 5 Disember lepas,” katanya lagi.

Sebagai kesimpulan dalam isu yang berlaku pada hari ini, Azmin berkata ahli MPP PKR membuat keputusan bahawa adalah tidak munasabah untuk terus berada di dalam dewan kongres.

“Tidak munasabah untuk kami mendengar kenyataan-kenyataan yang provokatif dan melanggar semangat persaudaraan Keadilan yang sewajarnya ditonjolkan dalam kongres seperti ini,” ujarnya lagi.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/kongres-nasional-keadilan-ucapan-hanya-untuk-mengangkat-impian-satu-sosok/

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-