Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Sunday, December 8, 2019

Muhyiddin: Hentikan segala provokasi

BERITA

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menegaskan kementeriannya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang percubaan untuk mengancam keamanan awam dan keharmonian negara.

Dalam kenyataan media hari ini, Muhyiddin mengulas tiga isu yang berlaku baru-baru ini, iaitu kes pengubahsuaian Jalur Gemilang yang muncul dalam satu kejohanan bola keranjang, nyanyian lagu Negaraku bukan dalam bahasa Melayu, majlis memperingati Perjanjian Damai Hat Yai.

"Merujuk kepada beberapa insiden yang tular kebelakangan ini, saya menggesa semua pihak agar berhenti membuat kenyataan atau melakukan perbuatan yang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

"Saya memandang serius perkembangan tidak sihat ini yang dianggap suatu provokasi untuk mengeruhkan keadaan dalam negara," katanya dalam kenyataan tersebut.

Muhyiddin berkata pihak polis sedang menyiasat semua insiden berkenaan dan perkembangannya akan diumumkan apabila perlu.

Pada acara perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28, di Kuala Lumpur, bulan lalu, bendera Malaysia dengan bintang berbucu lima dan 11 jalur merah putih dipaparkan menerusi klip video pada skrin LED ketika lagu Negaraku berkumandang.

Insiden itu menyebabkan banyak pihak meluahkan kekecewaan, khususnya di media sosial kerana menganggapnya sebagai tidak menghormati Jalur Gemilang.

Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) kemudian memohon maaf atas kejadian itu dan presidennya memilih untuk bercuti daripada jawatan itu bagi memberi ruang untuk siasatan pihak berkuasa.

Selain itu, polis juga sedang menyiasat majlis memperingati ulang tahun ke-30 perjanjian damai di antara Parti Komunis Malaya dan kerajaan Malaysia yang berlangsung di Selangor pada 1 Disember lalu.

Siasatan juga dibuat terhadap isu rakaman video pelajar menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa selain bahasa Malaysia.

"Tindakan tegas akan diambil mengikut lunas undang-undang sedia ada terhadap mana-mana pihak yang didapati dengan sengaja cuba menimbulkan kegusaran awam," kata Muhyiddin.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-