Friday, December 6, 2019

Pertama kali Hadi di pentas perhimpunan agung Umno

Diterbitkan Hari ini 11:43 tengahari

BERITA

PAU2019 | Pentas Perhimpunan Agung Umno kali ini julung kali menerima kehadiran Presiden PAS Abdul Hadi Awang, susulan termeterainya Piagam Muafakat Nasional antara dua parti yang dahulunya seteru utama.

Kehadiran Hadi diumumkan Setiausaha Agung umno Annuar Musa ketika membuka Perhimpunan Agung Umno ke-73, di PWTC hari ini.

"Umno ingin mengalu-alukan kehadiran murabbi ummah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang hadir buat pertama kali ke perhimpunan agung Umno bersama 30 anggota Jawatankuasa Pusat PAS, pimpinan Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak.

"Sesungguhnya muafakat dan kerjasama Umno-PAS adalah anugerah Ilahi, bertepatan dengan prinsip agama kita," katanya disambut laungan takbir perwakilan.

Tanggal 14 September lalu, Umno dan PAS memeterai Piagam Muafakat Nasional yang antara lain menggariskan bentuk kerjasama antara dua parti itu.

Kedua-dua parti itu kemudian mewujudkan jawatankuasa teknikal Muafakat Nasional - untuk memutuskan sama ada Muafakat Nasional akan menjadi badan berdaftar - yang dijangka siap Februari depan.

Kehadiran Hadi itu 'membalas' kunjungan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin Umno lain ke muktamar PAS ke-64 di Kuala Terengganu pada September tahun lalu.

Hadi tidak hadir pada perhimpunan agung Umno tahun lalu yang dibuat pada bulan sama. Ketika itu, PAS menghantar timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai wakil.

Annuar memaklumkan penubuhan sekretariat tetap Muafakat Nasional yang menurutnya sebagai langkah bersama untuk "merealisasikan gerakan baru Muafakat Nasional" berdasarkan jawatankuasa teknikal dua parti.

Beliau juga mengumumkan penubuhan tabung yang diberi nama "Umno-tabung perjuangan" bagi mengumpul dana untuk parti itu.

"Melalui tabung ini berjihadlah kita, mengumpul dana untuk parti kita," katanya.

'Hanya 2 peratus keluar'

Annuar dalam ucapannya memaklumkan hanya dua peratus anggota Umno yang meninggalkan parti setelah kekalahan PRU lalu.

"Lantaran itu, Umno telah melaksanakan proses pemutihan keahlian yang bermula pada Oktober 2018 dan berakhir pada 15 Februari 2019.

"Pemutihan keahlian Umno melibatkan pembersihan hanya dua peratus yang dikesan menjadi ahli parti lawan, sebahagian telah menyesal dan ada yang mula memohon untuk kembali, empat peratus menyokong parti lawan tidak setia semasa perhimpunan agung Umno lalu dan empat peratus ahli meninggal dunia.

"Setelah melalui pelbagai proses termasuklah pemutihan, dilaporkan sehingga ke tarikh 5 Disember 2019, jumlah ahli biasa Umno ialah 3,292,667 ahli sementara jumlah bilangan cawangan Umno ialah 22,156 cawangan," katanya lagi.

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-