Friday, December 6, 2019

'Tiada kongres lain kecuali di Melaka'

Diterbitkan Hari ini 12:03 pagi

BERITA

Tiada himpunan lain buat PKR kecuali di Melaka - itu pengesahan diberikan timbalan presiden parti itu, Azmin Ali, selepas merasmikan kongres sayap parti itu di Ayer Keroh, Melaka malam ini.

Azmin yang bercakap kepada media selepas menyampaikan ucapan perasmian kongres berkata, memberitahu dalam sebuah parti yang mempertahankan demokrasi, memang lazim wujud pandangan yang berbeza.

"Tidak ada perjumpaan selain kongres di Melaka.

"Semua dah dibincangkan dengan presiden (Anwar Ibrahim) dan biro politik semalam dan presiden ambil maklum penjelasan yang diberikan," katanya.

Ditanya mengenai isi perbincangan di antara beliau dengan Anwar di bangunan parlimen semalam, Azmin sebaliknya menolak.

"Ini perkara dalaman parti dan tak perlu saya kongsi dengan media," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam ini.

Sebelum ini - ketika berita mengenai rancangan kepemimpinan Pemuda PKR mahu menjemput Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan kongres mereka - bertiup khabar mendakwa kumpulan Azmin akan mengadakan himpunan lain di Kuala Lumpur.

Ia adalah sebagai tanda bantahan mereka terhadap kumpulan Anwar kesan daripada pertembungan dua kem berlainan dalam parti itu.

Naib Ketua Pemuda PKR Nazree Yunus juga kemudian mengesahkan pertemuan berasingan itu akan diadakan di Hotel Renaissance - tempat lahirnya Parti Keadilan Nasional 20 tahun lalu.

Anwar juga tengah hari tadi memberi peringatan bahawa tindakan tegas akan diambil termasuk pemecatan keanggotaan parti jika ada percubaan untuk sabotaj Kongres Nasional yang diadakan di Melaka malam ini.

Kata Azmin lagi, pandangan berbeza dalam kalangan parti menjadi aset untuk mencapai muafakat dan konsensus bagi menentukan hala tuju parti.

"Walaupun ada spekulasi dan tuduhan beberapa minggu lalu, kekuatan parti dipimpin Anwar dan Majlis Pimpinan Pusat AMK dan Wanita kita berjaya merungkai masalah dan bersatu teguh demi menentukan perjuangan kita," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-