Wednesday, December 4, 2019

Zahid dakwa 87 tuduhan ‘harga’ tak izin mayat Chin Peng masuk

Adam Abu Bakar
-December 4, 2019 8:56 PM


KUALA LUMPUR: Ahmad Zahid Hamidi mendakwa 87 pertuduhan membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya sekarang “harga” untuk keputusan pentadbiran lepas tidak mengizinkan mayat pemimpin komunis, Chin Peng dibawa masuk.

Presiden Umno itu berkata beliau semasa menjadi menteri dalam negeri membawa isu itu ke mesyuarat Kabinet atas permintaan seorang peguam.

Kabinet ketika itu memutuskan mayat Chin Peng tidak akan pernah diizinkan untuk dibawa masuk, apatah lagi ditanam di sini, katanya.

“Tetapi harga yang mahal saya terpaksa bayar. Hal ini kerana peguam itu sekarang ini peguam negara. Maka saya terpaksa membayarnya dengan 87 pertuduhan. Itulah hakikat,” katanya dalam ucapan di majlis menandatangani memorandum persefahaman penulisan ensiklopedia Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Zahid menggalas portfolio menteri dalam negeri dari 2013 hingga 2018 bawah pentadbiran Najib Razak.

Pada 19 Okt dan 14 Dis 2018 serta 20 Feb tahun ini, Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 8 tuduhan rasuah, 12 tuduhan pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden Umno itu juga berdepan 40 tuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Abu mayat Chin Peng menjadi perbualan selepas media melaporkan ia dibawa ke Perak dan ditabur di laut berhampiran Lumut serta kaki banjaran Titiwangsa.

Polis mengumumkan ia sedang menyiasat isu itu, mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan, iaitu dengan niat hendak menimbulkan ketakutan kepada awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya itu meninggal dunia pada 16 Sept 2013 di sebuah hospital di Bangkok pada usia 90 tahun.

2 comments:

  1. Contoh pengharaman terpilih..komunis jahat x boleh, jepun..portugis jahat boleh pulak..bukan mempertikaikan..yes komunis mmng jahat, tapi jepun baik ke masa tu? Kenapa boleh pulak baik2 dgn jepun yg dulu jahatnya macam serbia? Apa justifikasinya? Harap dpt penjelasan..

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-