Friday, January 24, 2020

Isu 'pemandu bas' PH, Saifuddin: PAS tak terlibat pun

BERITA

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail tidak melihat kenyataan dibuat Abdul Hadi Awang mengenai peralihan kepemimpinan negara sebagai sesuatu yang wajar diberi perhatian.

Malah kata Saifuddin, pandangan diberi presiden PAS itu tidak membawa apa-apa impak, sama ada mengurangkan kekuatan PH mahupun mengukuhkan PAS.

Sebaliknya kata Saifuddin, sifat terpuji yang patut diambil Abdul Hadi ialah menerima hakikat bahawa PH kini adalah kerajaan di peringkat pusat dan PAS berada di posisi pembangkang.

Secara sinis Saifuddin berkata, peralihan perdana menteri - yang digambarkan Abdul Hadi sebagai pertukaran pemandu bas - sudah disepakati lama dulu dan tanpa membabitkan PAS.

"Pada pilihan raya umum (PRU) ke- 14, PH adalah gabungan empat parti yakni PKR, Amanah, DAN dan Bersatu.

"PH bersetuju pada waktu itu dengan tawaran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan, dan Anwar Ibrahim perdana menteri kelapan," katanya hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menambah, 'pemandu bas' telah ditentukan oleh PH, manakala destinasi gabungan itu juga jelas, iaitu menolak politik perkauman sempit, membela rakyat dan menghormati prinsip perlembagaan.

PAS masuk PRU nak jadi king maker

"Dalam persetujuan PH itu, PAS tidak pernah terlibat pun," katanya lagi.

Pagi tadi Abdul Hadi - seperti selalu - secara berkias menggambarkan peralihan kepemimpinan negara tidak boleh dibuat seumpama menukar pemandu bas.

"Tak boleh janji serah kuasa begitu saja, dalam Islam semua perjanjian perlu ikut rukun Islam, sebab kita orang Islam... kalau tak cukup syarat, tak cukup rukun janji, ia tak sah. Kena tengok janji tu cukup syarat ke tak?

"Kita tak boleh anggap tukar kepemimpinan negara macam tukar pemandu bas, kalau nak tukar pemandu bas pun, kalau nak pergi ke Kuala Lumpur kena pemandu yang nak bawa ke Kuala Lumpur juga.

"Kita nak pergi Kuala Lumpur tukar pemandu hendak ke Pulau Pinang... mana boleh, tak sampailah," katanya kepada media ketika ditemui di Rusila, Terengganu, hari ini.

Menurut Saifuddin dalam apa juga situasi melibatkan PH, PAS tidak terbabit.

"PAS waktu itu masuk PRU ke-14 sebagai king maker dan bertanding tiga penjuru: BN, PAS dan PH. Dalam persetujuan PH, PAS tidak pernah terlibat

"PH akan terus berfungsi sebagai kerajaan dan PAS biarlah menjadi pembangkang yang konstruktif," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-