Monday, January 20, 2020

Pandangan serius ingatan PM demi kelangsungan PH, kata DAP

MALAYSIADATELINE
January 20, 2020 6:43 pm

Semua pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) perlu terus bekerja keras dan berubah membaiki keadaan atau berdepan risiko kehilangan mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Chow Kon Yeow, berkata kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dilaporkan memberi amaran bahawa PH boleh menjadi kerajaan sepenggal jika pemimpinnya tidak mengubah sikap adalah isyarat kepada semua pihak supaya berhenti berbalah dan memberi fokus kepada rakyat.

“Beberapa perkara dan isu sepatutnya hanya dibincangkan dalam saluran dalaman parti dan bukannya secara terbuka.

“Kita perlu ambil perhatian mengenai nasihat PM, semua parti komponen dalam PH mesti bersatu, sama ada secara kolektif dan secara individu,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) seperti dipetik laporan Beritaharian hari ini.

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP negeri, berkata meskipun Pulau Pinang diibaratkan sebagai benteng PH, ia tetap tidak boleh dipandang remeh.

Katanya, PH tidak boleh terlalu mudah berpuas hati dan perlu sentiasa mengekalkan momentum untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Kami akan terus melaksanakan dasar dan projek pro-rakyat untuk terus menghargai sokongan rakyat yang sudah memilih kami sehingga penggal ketiga di Pulau Pinang,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH dilaporkan oleh agensi berita Reuters, sebagai berkata gabungan itu bakal menjadi kerajaan sepenggal jika pemimpinnya masih bergaduh sesama sendiri hingga memecah belahkan rakyat.

Ia susulan kekalahan PH pada lima Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, termasuk PRK Kimanis, Sabah yang diadakan kelmarin.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/pandangan-serius-ingatan-pm-demi-kelangsungan-ph-kata-dap/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-