Thursday, January 30, 2020

Peguam sambut baik hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk

BERITA

Peguam Syahredzan Johan mengalu-alukan keputusan kerajaan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman lebih berat ke atas pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Syahredzan berkata keputusan tu menunjukkan kerajaan kini mempunyai kemahuan politik berbanding kerajaan dahulu.

Beliau memetik jawapan yang diberikan bekas Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi di parlimen pada Jun 2015 yang mengatakan sebanyak 1,035 kemalangan jalan raya disebabkan pemandu mabuk di antara 2010 sehingga April 2015.

"Walaupun dengan statistik yang membimbangkan ini, Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kali terakhir dipinda pada tahun 1999 untuk menaikkan hukuman kepada hukuman yang sedia ada.

"Kerajaan sebelum ini telah gagal membuat apa-apa pindaan ke atas Seksyen 44(1) Akta tersebut sejak tahun 1999 tersebut walaupun pemandu mabuk telah menyebabkan lebih daripada 1,000 kemalangan dan 600 kematian dalam masa lebih kurang 5 tahun sahaja," katanya.

Setiausaha politik kepada penasihat DAP, Lim Kit Siang itu turut berharap pindaan berkenaan menjadi langkah pencegahan yang berkesan untuk menangani gejala ini.

Pada masa yang sama, katanya hukuman lebih berat sahaja tidak mencukupi tanpa penguatkuasaan yang tegas.

"Saya juga menggesa supaya pihak berkuasa untuk mempertingkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan, termasuklah mengadakan lebih banyak pemeriksaan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan di jalan raya.

"Ini adalah untuk memastikan bahawa orang ramai memandu dengan cermat dan mematuhi undang-undang semasa memandu," katanya.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerajaan bersetuju pada dasarnya untuk mengetatkan undang-undang sedia ke atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Beliau berkata antara peruntukan yang dikaji adalah seksyen 41, 44 dan 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang akan dipinda untuk mengetatkan undang-undang sedia ada dengan hukuman yang lebih berat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-