Saturday, February 15, 2020

Acheh, Jawa, Bugis, Banjar datang TM pertahan Islam

February 15, 2020


KUALA LUMPUR: Kedatangan etnik Nusantara ke Tanah Melayu (TM) suatu ketika dahulu bukanlah sebagai nelayan atau petani, sebaliknya selaku pejuang yang mahu mempertahankan kedaulatan Islam daripada berdepan dengan penjajahan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, etnik Melayu Acheh, Jawa, Bugis dan Banjar datang berjihad untuk menentang penjajah yang cuba menakluk dan menghapuskan agama Islam di Tanah Melayu.

Beliau mengupas dalam ucaptama dan pembentangan ‘Sunnah Pengutusan Rasul dan Sejarah Kemasukan Islam ke Alam Melayu‘ pada Multaqa Dakwah Nusantara di Puri Pujangga Hotel, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, sebentar tadi.

Jelasnya, peranan pendakwah Islam yang datang ke Nusantara ini adalah sama sebagaimana usaha para Nabi dan Rasul A.S di mana tidak mengajak untuk bersyahadah semata-mata, tetapi menjadikan Islam memerintah dan berdaulat.

“Islam yang menghukum, bukan Islam yang dihukum. Islam yang mentadbir, bukan Islam yang ditadbirkan. Ini mesti letak dalam kefahaman kita sebagai pendakwah.

“Dan Nabi-nabi A.S berdakwah bukan sahaja mengajak orang mengucap dua kalimah syahadah, termasuk mengajar Raja-raja dan pemimpin-pemimpin melaksanakan Islam. Dakwah dengan makna yang menyeluruh. Ini hakikat yang perlu kita faham,” serunya.

Beliau juga menyangkal catatan para Orientalis kononnya Islam masuk ke Nusantara pada abad ke-9, 10 dan 13, walhal berdasarkan sumber Islam antaranya Batu Bersurat Terengganu, ia sampai lebih awal daripada itu dan menjadi pemerintahan berdaulat dengan Islam.

Terangnya, perjuangan menentang penjajah khususnya di Melaka tahun 1511 atas nama Islam itu sebenarnya banyak dikecilkan sejarah, sebaliknya diangkat perjuangan kemerdekaan era 1900-an lebih dari hakikat sebenar.

Tuan Guru juga memuji kebijaksanaan para pendakwah ke Nusantara di mana walaupun mengikuti mazhab Imam Syafie, namun mereka dapat menangani penduduk di Tanah Melayu yang juga terdiri daripada penganut Hindu dan Buddha.

Kerana jelasnya, menurut mazhab Syafie, penduduk dalam kalangan ahli Zimmah hanya Kristian, Yahudi dan Nasrani sahaja serta tidak pada Hindu dan Buddha yang diberi pilihan sama ada menganut Islam atau dibunuh.

Sedangkan katanya, hakikat penduduk Nusantara terdapat juga yang beragama Hindu dan Buddha, sekali gus menunjukkan para pendakwah tersebut tidak hanya memahami fekah, tetapi juga sejarah dan pendekatan Islam dalam menangani kemajmukan. 

HARAKAHDAILY
   15/2/2020

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-