Monday, February 17, 2020

Bersatulah Melayu demi anak cucu, jika bukanpun untuk kamu

Kita berada di pihak rugi, ultra kiasu terus bermaharajalela
17/02/2020


KEBELAKANGAN ini, ada beberapa insiden melibatkan penjawat awam dan penguatkuasa, ketika menjalankan tugasnya, berlaku pergaduhan, dihalau oleh ultra kiasu dan berbagai lagi.

Selang beberapa hari, perkara tersebut dikatakan selesai. Berbaik semula. Ramai tertanya-tanya, apakah bentuk jalan penyelesaian melalui pintu belakangnya.

Saya menjadi hairan kenapa begitu cepat berbaik semula, sedangkan terang-terang ultra kiasu melanggar undang-undang..

Sebelum ini, kerap kali dibangkitkan raja dadah yang ditangkap. Masih belum ada hukuman. Dibicarakan. Tidak mustahil boleh terlepas.

Sedangkan selama ini, raja dadah tersebut terlepas dan menjadi kaya raya. Sedangkan yang menjadi penagih dadah adalah orang Melayu.

Pendek kata, pergi ke mana, Melayu menjadi mangsa. Ultra kiasu semakin bermaharajalela. Sehingga pihak kerajaan terpaksa mengalah.

Insiden yang menimpa saudara Allahyarham Adib, usahlah diceritakan. Sehingga kini, masih tidak ada pembelaan untuk Allahyarham.

Kuil yang sepatutnya berpindah ke tapak telah disediakan, tetap beroperasi dengan megah, semakin aktif, ceria, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Berbeza sekali dengan tahanan ultra kiasu yang mati dalam lokap. Desakan demi desakan dibuat terhadap kerajaan agar pembelaan dibuat terhadap tahanan yang mati dalam lokap, sedangkan mereka yang nak dibela itu adalah penjenayah tegar.

Dalam kata lain, penjenayah dibela. Mereka yang menegakkan keadilan dan keselamatan, dibiarkan ‘mati sia-sia’.

Begitu juga dengan isu jawi, akhirnya, jawi tinggal jawi. Tidak ada satu sekolah Cina yang mengajar jawi di SJKC.

Dalam maksud, kerajaan terus didesak dan diasak. Akhirnya, kerajaan terpaksa mengalah. Dasar yang sepatutnya dilaksanakan tidak dapat dilaksanakan.

Apa sudah jadi dengan negara, seolah-olah tidak diperintah oleh kerajaan yang sebenar, tetapi oleh ultra kiasu yang tidak pernah setia kepada negara.

Saya dapat rangkumkan di sini, banyak lagi isu yang berlegar, langsung tidak berpihak kepada Melayu dan Islam. Kita tetap berada di pihak yang rugi. Ultra kiasu terus bermaharajalela.

Sedarlah wahai umatku…

Bangunlah, kita tidak punya banyak masa. Buatlah sesuatu demi anak cucu, jika bukan pun untuk kamu. Setakat ini kita mungkin dirasakan masih boleh bertahan. Anak cucu bagaimana?

Dasar demi dasar diubah yang berpihak kepada Islam, tidak dapat dilaksanakan kerana terus menerus ditentang. Yang sudah sedia ada pun sukar untuk dilaksanakan.

Begitu juga dengan undi percaya yang ingin dibawa oleh PAS di Parlimen tidak lama lagi. Logiknya, sukar untuk menjadi kenyataan, bila ultra kiasu Islam dan bukan Islam bersatu menolaknya.

Umat Islam tidak bersatu dalam menghadapi bahayanya ultra kiasu. Sanggup bersekongkol demi untuk berkuasa.

Jika kuasa yang diperolehi nanti, boleh menjamin kedudukan Melayu dan Islam, tidak mengapa juga.

Tetapi melihat kepada tanda-tanda yang ada, terlalu sukar untuk melihat Islam dan Melayu itu mengakar.

Ultra kiasu dilihat terlalu kuat. Lebih-lebih lagi jika ada Melayu ultra kiasu bersama mereka. Lebih pelik lagi Melayu ultra kiasu di Kelantan turut bersama.

Justeru, apa yang perlu dibuat. Suka atau tidak, ikhlas atau tidak, mahu atau tidak, Muafakat Nasional mesti disokong sepenuhnya sebagai satu cara untuk menyekat kemaraan ultra kiasu.

Saya tidak perlu terangkan cara-caranya.

Jika negara-negara Arab tidak lagi boleh dicontohi, maka ambillah ibrah daripada sejarah Islam. Sirah dan ibrah yang telah ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Ketegasan berhadapan dengan musuh-musuh Islam.

Tidak perlulah saya mengajar dalam soal ini kerana semua telah memahami. Jika saya nukilkan seperti mengajar itik berenang.

Jika tidak pun dapat memandang ibrah yang berlaku, pandanglah bagaimana negara lain menguruskan negaranya. Jangan pergi jauh. Lihat negara China.

Jika ada anasir-anasir yang boleh mengganggu-gugat negaranya, tindakan tegas akan dikenakan meskipun nyawa warganya menjadi gadaian. Apakah kita semua sudah lupa dengan tragedi hitam dataran Tiananmen 1989.

Tindakan tegas terhadap pelajar yang mahu menentang sistem komunis, berapa banyak nyawa melayang. Tidak perlu saya nukilkan di sini, lebih lanjut, kerana semua telah memahaminya.

Terbaharu, isu coronavirus atau Covid-19. Pemimpin China bertegas, tutup pintu daripada menerima bantuan negara luar, termasuk WHO. Kenapa? Kerana ini adalah maruah sebuah bangsa besar.

China tidak mahu mengemis kepada orang lain. China akan selesaikan masalah mereka sendiri meskipun nyawa menjadi gadaian.

Daripada satu segi, kita mungkin berkata, zalim pemimpin mereka. Namun, jika dikaji secara mendalam, inilah soal ketegasan dalam menguruskan sebuah negara dan sebuah bangsa. Saya puji China dalam hal ini. Tidak mahu menjadi pengemis.

Kita bagaimana? Terus mengemis…

Hari ini agama dan bangsa, sudah dilenyek, dipijak, maruah entah di mana. Masih ada sebahagian mengatakan, tidak ada apa-apa.

Kita sanggup menikam sesama saudara, demi untuk mengekalkan kuasa bersama ultra kiasu. Kita sanggup bersekongkol dengan ultra kiasu yang begitu jelas agenda untuk merosakkan Islam dan anak bangsa.

Dadah terus bermaharajalela. Anak bangsa menjadi penagih tidak kira usia. Remaja sudah tidak tentu hala.

Kita biarkan sahaja, hanya kerana takut hilang kuasa.

Bayangkan selepas ini undi 18 tahun berkuat kuasa. Apakah kita setanding dengan anak-anak ultra kiasu 18 tahun yang sentiasa bersedia?

Maaf cakap, anak muda kita belum nampak yang nyata, berbanding anak muda ultra kiasu yang sentiasa tahu apa yang dicita.

Anak-anak kita terus tenggelam dalam dunia glamour. Cukuplah setakat ini saya bertinta. Bertemu lagi di lain masa, dalam menegak agama tercinta.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-