Tuesday, February 18, 2020

Bila dinobatkan seorang PM yang mesra DAP


KALAU ikut kajian yang dilakukan Merdeka Centre, orang-orang Melayu tidak cenderung melihat Anwar Ibrahim naik sebagai PM ke-8.

Mengikut kajian itu cuma 13 peratus responden Melayu memilih Anwar berbanding 42 peratus yang mahukan Tun Dr Mahathir kekal hingga PRU 15. Mengapa begitu?

Mungkin dari pengalaman mereka Anwar tidak ke hadapan dalam isu-isu berkaitan nasib dan masa depan umat Melayu dan agama Islam.

Isu-isu besar yang berlalu pergi umpama ratifikasi ICERD dan Statut Rom tidak menampakkan kesungguhan Anwar berbanding pimpinan politik Melayu yang lain.

Demikian juga isu tulisan Jawi, hak untuk murtad, LGBT, RUU355, pembelaan kebajikan masyarakat FELDA yang rata-rata terdiri dari orang Melayu, isu mengagungkan perjuangan Komunis PKM semuanya Anwar cuba elak kerana kononnya mengambil posisi Liberal dan mahu mengambil hati masyarakat bukan-Melayu dan bukan-Islam.

Mungkin kerana sikap politik sesumpah ini maka orang-orang Melayu tidak nampak yang Anwar boleh diharapkan untuk mempertahan dan membela hak mereka.

Berlainan dengan masyarakat bukan-Melayu. Jika diberi pilihan antara Anwar dan Tun, 62 peratus masyarakat India mahukan Anwar diikuti 58 peratus masyarakat Cina.

Pimpinan DAP umpamanya begitu taksub dan tidak sabar mahu Anwar menggantikan Tun sebagai PM ke-8. Sudah pasti mereka nampak agenda dan cita-cita perjuangan mereka akan disokong dan diangkat Anwar kerana ternyata Anwar banyak terhutang budi pada mereka.

Salah seorang pimpinan DAP yang ekstrem dan vokal iaitu Chong Chien Jen, Pengerusi DAP Sarawak, baru-baru ini mengisytiharkan di Kuching bahawa agenda utama PH adalah untuk memastikan Anwar naik sebagai PM ke-8 menggantikan Tun.

Ingatlah jika dalam tempoh hampir 2 tahun pemerintahan PH banyak rungutan dan ketidakpuasan hati disuarakan khususnya umat Melayu Islam ekoran dominasi DAP dalam kerajaan, bayangkan jika negara punya PM yang mesra dan tunduk pada DAP.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
 – HARAKAHDAILY
    18/2/2020

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-