Thursday, February 27, 2020

'Cukup-cukuplah pamer kejelikan kita di celah kesempitan rakyat'

Diterbitkan Hari ini 8:56 pagi

BERITA

ULASAN | Mewakili kawan-kawan, saya pohonkan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kami sedar apa yang diistilahkan oleh disiplin sains politik sebagai kemelut politik elit ini sememang layak ditanggapi rakyat sebagai golongan politikus yang saling mencari formula politik koalisi bagi menubuhan sebuah kerajaan.

Mungkin sahaja ada yang berkata, dua kali lima sahaja semuanya. Aduh!

Lalu ia tidak akan mencetuskan keinginan rakyat untuk turut berdemonstrasi di jalanan kalau ia gagal mencapai keputusan tuntas.

Ini bukan politik rakyat yang mencetuskan gerakan Reformasi satu ketika dahulu. Tapi kali ini - dalam simpang-siur yang memeningkan - silap-silap hari bulan, mereka (rakyat) akan bosan, mual dan jelak.

Justeru, jangan terus-terusan membebani rakyat dengan pelbagai gelagat buruk serta kerakusan kita, termasuk kesanggupan mengkhianati perjuangan dan kawan-kawan!

Cukup-cukuplah mempamerkan kejelekan tabiat kita di celah-celah kesempitan kehidupan rakyat.

Apa yang dipamerkan itu mengganggu kesejahteraan, bahkan menambahkan penyeksanaan hidup mereka.

Ketika rakyat menantikan pakej rangsangan ekonomi dan keprihatinan kerajaan menangani seterusnya wabak Covid-19, tetapi kemelut ini pula yang kita hadiahkan sebagai 'penyelesaian' buat mereka.

Sekarang political impasse (kebuntuan politik) dalam menentuan perdana menteri kelapan Malaysia bakal mengundang pelbagai reaksi serta melibatkan wacana yang kurang produktif.

Malah ia mungkin sahaja berpotensi untuk meledakkan berontak.

Jangan sampai hilang kewajaran dan arah. Berpada-padalah berpolitik kerana rakyat mahukan kebaikan daripada kekusutan ini, bukan perbalahan serta pertelingkahan berpanjangan.

Jangan tajamkan lagi sensitiviti ras dan agama. Tidak sopan menjadikan semua ini modal politik.

Segera tamatkan era tidak berkerajaan ini. Tidak wajar negara dikemudi secara berpanjangan oleh hanya seorang perdana menteri interim. Ayuh!

Daulat Tuanku.

DR DZULKEFLY AHMAD ialah ahli parlimen Kuala Selangor merangkap bekas menteri kesihatan, serta pengarah strategik Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-