Saturday, February 15, 2020

Insiden halang tugas di Batu Caves, Imigresen buat laporan polis

Bernama
-February 15, 2020 6:31 PM

Semalam, tular di media sosial insiden kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar dari kawasan peniaga haram dari India dan Pakistan oleh ahli jawatankuasa kuil Batu Caves.

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen akan membuat laporan polis berhubung anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dipercayai dihalau daripada melakukan tugas operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves, di sini, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memandang serius tindakan provokasi itu dan menganggap ia sebagai perbuatan menghalang tugas penjawat awam.

“Satu laporan polis akan dibuat oleh pejabat Imigresen Selangor…dalam perkara ini, Imigresen tidak gentar dengan sebarang tindakan provokasi oleh pihak-pihak yang melindungi pendatang tanpa izin di negara ini.

“Tindakan berundur yang diambil adalah bertujuan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian rusuhan seperti yang dinyatakan.

“Apa yang berlaku adalah pertengkaran pihak Imigresen dan beberapa lelaki yang tidak berpuas hati dengan kehadiran mereka (Imigresen) di kuil berkenaan semasa segelintir penganut masih beribadat serta membeli-belah pada saat akhir perayaan Thaipusam.

“Tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda yang dialami oleh mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan atau menyebarkan berita yang tidak benar demi keharmonian pelbagai kaum dan sensitiviti masyarakat sentiasa terjamin.

Semalam, tular di media sosial bahawa kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar dari kawasan peniaga haram dari India dan Pakistan oleh ahli jawatankuasa kuil Batu Caves.

Selain itu, mereka juga dicemuh dengan bahasa kesat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-