Monday, February 17, 2020

Kenapa bela si pemabuk?

Oleh Siti Fatimah Ishak

Adakah masih memadai denda beberapa ribu, penjara buat seketika


BANGI, 23 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Saban hari kes kemalangan maut dirempuh pemandu mabuk dilaporkan, namun seolah-olah tidak mendapat perhatian serius pihak kerajaan.

“Cukuplah berita yang menyedihkan buat ahli keluarga si mangsa dan ulangan berita yang turut membakar perasaan marah rakyat.

“Tidak dinafikan mungkin ada yang sudah bosan mendengar ulangan janji demi janji pihak yang berwajib,” kata Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin

Beliau hairan kenapa kerajaan tidak bertegas untuk meminda akta hukuman terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian orang awam.

“Taiwan jatuhkan hukuman mati kepada pemabuk yang menyebabkan kematian. Adakah kita masih memadai dengan denda beberapa ribu dan dipenjara buat seketika?,” soalnya.

Terbaharu, seorang pemandu kereta maut manakala tiga penunggang dan seorang pembonceng motosikal juga cedera selepas dirempuh pemandu mabuk yang memandu secara melawan arus.

Minggu lalu, dua sahabat maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu wanita disyaki dalam keadaan mabuk di Km13, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Sungai Dua, Butterworth.

Sebelum itu, seorang penunggang motosikal maut, manakala rakannya cedera juga disebabkan pemandu disyaki mabuk dalam kejadian di Batu 10, Jalan Apas, Tawau.

Sementera Jun tahun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, di ibu negara.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan Seksyen 41 Akta 333 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang telah didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

1 comment:

  1. ...mabuk, mabuk, mabuk. Pesta mabukpun lagi ada. Apake bendenye?

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-