Monday, February 24, 2020

Kerajaan 'pintu belakang' menjijikkan, kata Patriot

BERITA

Perkembangan terbaru politik sehari dua ini dianggap sebagai amat menjijikkan pada pandangan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, Patriot berkata, sebarang usaha mengkhianti mandat rakyat dengan membentuk kerajaan melalui 'pintu belakang' tidak boleh diterima.

Presidennya, Mohamed Arshad Raji, berkata perubahan kerajaan mestilah dibuat secara demokratik iaitu dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang mereka mahukan.

"Patriot berasa jijik dengan perkembangan terbaru politikl dalam cubaan untuk membentuk kerajaan melalui pintu belakang.

"Seperti yang banyak dilaporkan Bersatu dan sebahagian ahli politik PKR cuba membentuk kerajaan baru bersama Umno dan PAS.

"Ini adalah mengejutkan terutama hanya dua hari selepas Majlis Presiden PH mengisytiharkan isu penggantikan perdana menteri sudah selesai," katanya.
Semalam, politik Malaysia dikejutkan dengan usaha menukar kerajaan apabila pemimpin parti politik utama negara - Bersatu, Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan dan sebahagian pemimpin PKR ke istana negara.

Terlebih dulu ia dimulakan dengan mesyuarat Bersatu dan sebahagian pemimpin PKR yang diketuai oleh timbalan presidennya, Azmin Ali, dan sebelah petang disusuli dengan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Kemudiaanya pada sebelah malam di sebuah hotel di Petaling Jaya awalnya dijangka ada sidang media bagi mengumumkan pembentukan kerajaan baru.

Bagaimanapun tiada sebarang pengumuman dibuat, sebaliknya pemimpin parti-parti utama datang dan pulang tanpa memberi sebarang kenyataan kepada media, kecuali memberitahu mereka hadir untuk "makan malam" saja.

Presiden PKR Anwar Ibrahim malam tadi menyifatkan perkembangan politik tanah air yang berlaku itu sebagai satu “pengkhianatan”.

Mohamed Arshad berkata langkah membentuk kerajaan melalui 'pintu belakang' adalah pengkhianatan kepada mandat rakyat.

"Patriot tidak akan menyokong sebarang kerajaan yang dibentuk dengan memasukkan Umno dan PAS.

"Jika benar kerajaan PH sudah runtuh, seperti amalan demokrasi matang yang lain, langkah yang betul perlu diambil ialah membubarkan parlimen agar parti gabungan boleh mendapatkan mandat baru daripada rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-