Sunday, February 23, 2020

Penyokong Azmin bertemu di PJ, MP Bersatu dilihat hadir

BERITA

Pemimpin PKR yang setia kepada Timbalan Presidennya Azmin Ali kini sedang bermesyuarat di sebuah hotel mewah di Petaling Jaya, mencetuskan spekulasi suatu pengumuman penting akan dibuat petang ini.

Turut hadir ialah anggota parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Temerloh), Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).

Menariknya, Anggota Parlimen Bersatu Hamzah Zainuddin (Larut) juga kelihatan di hotel yang sama. Beliau diiringi oleh Setiausaha politik Azmin, Hilman Idham.

Sama ada MP Larut itu akan mengambil bahagian dalam mesyuarat itu atau tidak, ia masih belum pasti.

Hamzah (gambar, bawah) keluar Umno pada tahun lepas untuk menyertai Bersatu.
Turut kelihatan, aktivis sosial Hishammudin Rais dan penasihat Azmin Khalid Jaafar.

Mereka dipercayai berkumpul di sebuah bilik mesyuarat yang telah ditempah sehingga jam 7 malam.

Ketika laporan ini ditulis, Azmin dipercayai tidak berada di dalam hotel itu dan dijangka tiba kemudian.

Para pemberita telah menerima banyak mesej teks yang mendakwa kem Azmin akan mengumumkan mereka bakal meninggalkan PKR hari ini.

Bagaimanapun, dakwaan ini tidak boleh disahkan secara bebas.

Sesetengah wartawan juga telah menunggu di istana negara, dengan ada yang menjangkakan perubahan kerajaan akan berlaku.

Sementara itu, difahamkan Majlis Tertinggi Bersatu telah bermesyuarat pagi ini di Menara Yayasan Selangor, kira-kira lima minit perjalanan dari hotel di mana kem Azmin sedang melakukan pertemuan.

Pegawai daripada kedua-dua kem Azmin dan Bersatu tidak memberitahu mengenai tujuan pertemuan hari ini, yang diadakan susulan mesyuarat PH yang penting pada hari Jumaat lalu.

Ketika mesyuarat Majlis Presiden PH itu, pemimpin tertingginga terbahagi kepada dua pendapat. Satu pihak mahu Dr Mahathir Mohamad menghabiskan penggal perkhidmatannya sebagai perdana menteri, sementara yang lain mahu beliau menetapkan tarikh persaraan.

Pada akhirnya, mesyuarat itu memutuskan tarikh peralihan kuasa "terpulang kepada Mahathir."

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-