Sunday, February 16, 2020

Peralihan kuasa: Apa yang penting pendirian parti, PH - Anwar

Diterbitkan 15 Feb 2020, 11:51 malam

BERITA

Berhubung isu peralihan kuasa antara Dr Mahathir Mohamad dengan dirinya, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata apa yang penting adalah pendirian PKR dan PH yang menyokong perkara itu.

Beliau mengulas berkenaan ada anggota parlimen PKR yang terlibat dalam usaha mendapatkan tandatangan menyokong agar Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal, yang turut diakuinya sendiri.

Ditanya sama ada tahu identiti anggota parlimen partinya yang terlibat, Anwar berkata: "Saya tak tahu, tapi semua nafi."

"Tak apalah, soalnya pendirian parti, pendirian PH yang sokong Mahathir (sebagai) perdana menteri ketujuh dan Anwar perdana menteri kelapan. Itu pendirian parti dan PH," katanya ketika ditemui pemberita di program anjuran Gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam bukan kerajaan (ACCIN) di Kuala Lumpur malam ini.

Ditanya sama ada tindakan akan diadakan terhadap anggota parlimen PKR yang didapati terlibat, Anwar berkata mereka perlu menjawab kepada pimpinan PKR dan PH.

Anwar membangkitkan penglibatan anggota parlimen PKR itu dalam isu akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Mahathir kekal sebagai perdana menteri, dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan dengan Mahathir pada 13 Februari lalu.

Menuruta anggota parlimen Port Dickson itu, ia melibatkan "PAS, sekumpulan dari Umno dan sebilangan kecil dari PKR."

Parti komponen PH mencapai konsensus berhubung peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar sebelum PRU ke-14, tetapi setakat ini tiada tempoh yang khusus ditetapkan untuknya berlaku.

Semalam Mahathir mengulang komitmen untuk meletakkan jawatan selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November ini.

Anwar pula sebelum ini menyatakan Majlis Presiden PH akan bermesyuarat pada 21 Februari ini untuk memuktamadkan perkara itu.

Mengulas lanjut mengenai isu peralihan kuasa, anggota parlimen Port Dickson itu mengakui ada pandangan yang bercanggah tetapi apa yang penting adalah persetujuan yang telah dicapai dalam PH.

"Kita selesaikan secara baik. Proses transisi ini untuk kebaikan (dibuat secara) aman dan teratur," katanya sambil berharap tiada lagi desakan dibuat ke atas Mahathir agar meletakkan jawatan lebih cepat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-