Saturday, February 22, 2020

Peralihan kuasa: Otai Reformasi tetap turun ke jalan

Haspaizi Zain
Diterbitkan Hari ini 8:28 malam

BERITA

Otai Reformasi akan tetap turun ke jalan bagi menuntut peralihan kuasa, kata kumpulan aktivis veteran gerakan politik tahun 1998 itu.

Ini meski pun Presiden PKR Anwar Ibrahim meminta semua pihak akur kepada keputusan Majlis Presiden PH berhubung isu peralihan kuasa.

Setiausaha Otai Reformasi, Abdul Razak Ismail, berkata meskipun kumpulan itu pro-PH, tetapi mereka tidak terikat dengan arahan mana-mana pemimpin parti.

"Otai (Reformasi) adalah NGO bebas, walaupun pro-PH tetapi tidak terikat dengan arahan mana-mana pemimpin parti.

"Perbincangan dengan NGO-NGO sahabat untuk merangka bentuk mobilisasi dan jumlah turun ke jalan raya (bagi) NGO masing-masing," katanya kepada Malaysiakini, petang tadi.

Sebelum itu, dalam satu majlis hari ini Anwar mengarahkan anggota PKR supaya menghormati keputusan berhubung peralihan kuasa yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden PH semalam
Anwar juga menggesa penyokongnya dan sekutu PH lain agar menghormati keputusan itu, yang antara lain menyerahkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa selepas Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di ibu negara Nov depan.

"(Apa) yang kita capai semalam adalah konsensus, termasuk (melibatkan) PKR, oleh demikian PKR harus hormat keputusan tersebut, begitu juga rakan-rakan lain.

"Tapi saya boleh arah parti saja, yang lain saya boleh gesa agar mereka hormati keputusan, kerana tumpuan kita adalah tentang ekonomi yang berdepan sedikit kesan daripada Koronavirus," katanya kepada pemberita ketika ditemui di program Himpunan Enam Dekad Keluarga Besar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Bangi.

Terdahulu hari ini, FMT melaporkan kumpulan pro-Anwar, Otai Reformis berkata keputusan semalam tidak berpihak kepada Anwar dan mereka akan turun ke jalan bagi mendesak peralihan kuasa dibuat pada Mei ini.

Dalam sidang media selepas mesyuarat semalam, Mahathir berkata PH secara sebulat suara memutuskan untuk menyerahkan penetapan tarikh peralihan kepadanya.

Ketua Pemuda PKR (AMK) Selangor Najwan Halimi pula berkata, pihaknya menghormati keputusan presiden supaya menghormati pendirian Majis Presiden PH.

"Bagi pihak AMK, kami hormati saranan dan nasihat daripada presiden parti

"Ya, pendirian kami seperti yang dinyatakan oleh presiden," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-