Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Wednesday, February 26, 2020

PH isytihar sokong Anwar sebagai PM?

BERITA

Wartawan Malaysiakini
Diterbitkan Hari ini 2:41 tengahari

Wujud tanda-tanda bahawa semua anggota parlimen PH mengisytiharkan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, dalam pertemuan mereka dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada PH menukar keputusan awal untuk menyokong Mahathir, atau persetujuan telah dicapai dengan perdana menteri interim itu.

Bercakap dengan Malaysiakini, seorang pemimpin kanan PKR yang enggan namanya didedahkan berkata parti itu menyokong penuh Anwar.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub pula mengesahkan anggota parlimen parti itu turut memberikan sokongan kepada Anwar ketika pertemuan dengan agong.

DAP juga mungkin mengambil keputusan serupa, dengan seorang sumber parti itu berkata mereka akan "menyokong pembentukan sebuah kerajaan PH".

Ada beberapa versi bagaimana ia dapat berlaku.

Jumlah kerusi Parlimen yang dipegang PKR, DAP dan Amanah adalah 92, kurang 20 kerusi untuk mendapat majoriti mudah, iaitu 120 kerusi.

Seorang sumber memberitahu Malaysiakini bahawa sasaran 120 kerusi itu tidak terlalu sukar untuk dicapai Anwar.

Selain itu PH juga boleh menubuhkan kerajaan minoriti.

Bagaimanapun Mahathir mungkin tetap terlibat dalam kemungkinan kerajaan baru tersebut.
Bekas sekutu mereka Bersatu, yang mempunyai 25 anggota Parlimen (tidak termasuk Mahathir) dan 11 bekas anggota parlimen PKR yang menyokong Azmin, telah berkata mereka akan menyokong Mahathir.

GPS dengan 18 anggota parlimen turut menyokong Mahathir. Pendirian Warisan masih belum jelas tetapi presidennya Shafie Apdal sebelum ini menyebut partinya menyokong Mahathir dalam krisis politik yang berlaku.

Sumber Bersatu membayangkan ada usaha untuk mencapai persetujuan yang Mahathir akan kekal sebagai perdana menteri sehingga November, dengan Anwar menjadi timbalannya.

Sebagai pertukaran, anak Mahathir iaitu Mukhriz akan mengambil kedudukan nombor dua apabila Anwar menjadi perdana menteri nanti.

Seorang sumber lain berkata Anwar akan menjadi perdana menteri, dengan Mahathir dilantik memegang peranan menteri mentor dan Mukhriz menyertai kabinet.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada mana-mana persetujuan ini telah dicapai.

Seorang sumber PH membayangkan gabungan itu terbuka untuk Mahathir menjadi perdana menteri sehingga November tetapi tiada maklumat berkenaan sama ada bekas pengerusi Bersatu itu telah mencapai sebarang persetujuan dengan Anwar, sejak percubaan menjatuhkan kerajaan PH pada Ahad lalu.

Sehingga awal semalam, kelihatan semua anggota parlimen akan mengisytiharkan sokongan kepada Mahathir.

Namun BN dan PAS menarik balik sokongan itu, membantah dakwaan rancangan Mahathir untuk membentuk kerajaan berdasarkan individu dan bukannya mengikut parti politik.

Mereka turut menolak prospek berada dalam kerajaan bersama-sama DAP.

Mereka juga mendesak pilihan raya umum diadakan, dan ia boleh berlaku jika langkah PH gagal.

Krisis politik yang sedang berlaku tercetus selepas kumpulan Azmin bersama-sama Umno, PAS, Bersatu, GPS, dan menurut laporan Warisan, cuba mewujudkan gabungan baru, dengan Mahathir sebagai perdana menteri.

Ia bagi menggagalkan persetujuan PH untuk Mahathir menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas sidang Apec pada November ini.

Bagaimanapun langkah itu gagal apabila Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan kemudiannya sebagai pengerusi Bersatu.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-