Wednesday, February 19, 2020

'Sokong tubuh Pakatan Nasional'

Oleh Baharom Bakar
bhnews@bh.com.my

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid (enam dari kiri) bergambar kenangan pada majlis wacana pendidikan dan sumbangan bantuan kewangan pengurusan kepada PIBG daerah Hulu Terengganu.
 Foto NSTP/BAHAROM BAKAR

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menyatakan sokongan terhadap gesaan supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjalinkan kerjasama dengan PAS dan UMNO menerusi Pakatan Nasional.

Wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu, berkata jika penubuhan Pakatan Nasional boleh menguntungkan rakyat berbilang bangsa, agama dan negara, semua pihak termasuk Ahli Parlimen perlu memberi sokongan.

“Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU tentunya mempunyai idea untuk melaksanakan pelbagai agenda demi kepentingan rakyat.

“Saya secara peribadi akan memberi sokongan penuh jika Tun Dr Mahathir berhasrat untuk menubuhkan Pakatan Nasional,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program wacana pendidikan dan menyampaikan bantuan pengurusan berjumlah RM107,000 kepada 62 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah di seluruh daerah Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani dan Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Rosli Chik.

Rosol mengulas desas-desus kononnya bakal wujud kerjasama baharu politik dinamakan Pakatan Nasional membabitkan sebahagian parti Pakatan Harapan dengan dengan UMNO dan PAS.

Isu Pakatan Nasional muncul selepas bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, mendedahkan wujudkan usaha presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendapatkan sokongan untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir.

Mengulas kenyataan beberapa pemimpin parti politik yang mendakwa penubuhan Pakatan Nasional berbahaya dan boleh menimbulkan permusuhan terbuka dengan orang bukan Islam, Rosol berkata, dakwaan itu tidak tepat kerana hak kaum lain juga tidak akan dipinggirkan kerajaan.

Ketika ditanya adakah Dr Mahathir pernah menyuarakan hasrat untuk mewujudkan Pakatan Nasional, Rosol berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu tidak pernah menyatakan mengenai perkara itu ketika mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen dari BERSATU.

“Jika betul desas desus itu, saya akan memberi sokongan demi kepentingan rakyat, ” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-