Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Tuesday, February 18, 2020

Tuntut Penjelasan Penamatan Operasi Hotel THHR


TUNTUT PENJELASAN PENAMATAN OPERASI HOTEL THHR

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menuntut satu penjelasan tuntas daripada pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (LTH), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan Menteri Kewangan berhubung penamatan operasi serta perkhidmatan hospitaliti bagi empat rangkaian hotel di bawah kumpulan TH Hotel & Residence Sdn Bhd. Surat yang bertarikh 17 Februari 2020 daripada TH Hotel & Residences Sdn Bhd (THHR) telah tular di media sosial dan amat mengejutkan ramai pihak.

Setelah pihak kerajaan gagal mengemukakan jawapan konkrit berhubung transaksi penjualan meragukan dua syarikat subsidiari dan aset ladang kelapa sawit milik TH Plantations Berhad bulan lalu, kini LTH pula akan menamatkan operasi empat aset komersial milik TH Hotel & Residence kerana bangunan hotel tersebut didakwa telah diambil alih oleh SPV milik Kementerian Kewangan iaitu Urusharta Jemaah Sdn Bhd. Tindakan ini menunjukan semua aset di bawah pemilikan LTH yang diserahkan kepada UJSB akan terbuka untuk dipindah milik kepada pihak lain.

PAS meminta justifikasi kukuh berhubung perkara ini. Adakah keempat-empat hotel tersebut mengalami masalah kewangan yang serius? Adakah ia akan diambil alih oleh UJSB atau dijual kepada pihak lain? PAS turut bimbang dengan nasib semua aset hartanah LTH bernilai RM1.4 bilion (nilai buku) yang telah dipindahkan kepada UJSB antaranya tanah TRX KL (RM196 juta), Platinum Park (RM486 juta) dan tanah Presint 4 Putrajaya (RM92 juta). Apakah sebenarnya makna pemulihan jika aset-aset LTH milik umat Islam boleh dipindah milik kepada pihak lain dengan sewenang-wenangnya?

Sekian, terima kasih.

TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)
24 Jamadil Akhir 1441 | 18 Februari 2020

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-