Tuesday, February 18, 2020

Urusharta Jamaah ambil alih 4 hotel Tabung Haji

BERITA

Berita ini dikemas kini dengan kenyataan rasmi Tabung Haji.

Empat hotel Tabung Haji (TH) di Kota Kinabalu, Bayan Lepas, Alor Setar dan Kuala Terengganu dipindah milik kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ).

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan media TH sebentar tadi setelah tular makluman yang dikatakan notis dalaman oleh TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR).

TH berkata empat hotel itu akan diteruskan bawah anak syarikat milik penuh UJ, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM).

“UJPM akan mengambil alih operasi keempat-empat hotel tersebut yang sebelum ini di bawah seliaan TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR) bermula 1 April 2020,” menurut kenyataan itu.

Hotel-hotel itu juga akan dikenali dengan nama baru Raia Hotel dan kekal dengan dengan konsep patuh syariah.

Kesemua hotel ini adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 bilion pada hari pemindahan, menurut TH.

TH juga berkata tiada kakitangan akan diberhentikan kerja. Bagaimanapun 10 peratus pekerjanya akan diserap oleh hotel TH di Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Terdahulu, PAS membangkitkan kebimbangannya berkaitan spekulasi penutupan operasi itu.

Mujahid: Nak selamatkan defisit warisan Umno

Sementara itu, menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa di Twitternya hari ini berkata empat hotel berkenaan merupakan antara 29 aset Tabung Haji yang mengalami kerugian.

"Prinsip pemulihan TH ialah mengenal pasti aset yang rugi kerana nak selamatkan defisit warisan Umno.

"Aset harta yang rugi 29 semuanya termasuk 4 hotel yang ditularkan.

"(Ia) Dipindahkan ke SPV (Syarikat tujuan khas) milik kerajaan dengan nilai asal. Semuanya agar operasi TH dapat kekal," katanya.

Menurut laporan The Edge November lalu, TH telah menyelesaikan pemindahan aset dengan nilai pasaran RM9.63 bilion kepada UJSB.

Ini sebagai pertukaran untuk sejumlah RM19.9 bilion, yang terdiri daripada dua peringkat sukuk dan RM300 juta tunai yang perlu dibayar kepada TH.

“Perbezaan sebanyak RM10.3 bilion antara pertimbangan sebanyak RM19.90 bilion dan nilai pasaran ke atas aset sebanyak RM9.63 bilion, akan ditanggung oleh kerajaan bagi memastikan kedudukan kewangan TH dipulihkan,” kata UJSB dalam kenyataan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-