Thursday, March 26, 2020

Boleh guna apa cara pastikan PKP dipatuhi

Tahan, dakwa hingga dihukum penjara atau denda
26/03/2020
 
Foto: Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Syaaban 1441H, Khamis – Pihak yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh menggunakan apa jua cara termasuk kekerasan bagi memastikan perintah itu dipatuhi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya selain itu, pihak terlibat juga boleh menahan, mendakwa sehingga dihukum penjara atau dikenakan denda oleh mahkamah sebagaimana yang telah dilaksanakan.

“Kerjasama dengan pihak yang menguatkuasakan undang-undang khususnya Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) seperti petugas kesihatan, PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia), amatlah penting bagi memastikan langkah yang diambil oleh kerajaan demi menjaga nyawa rakyat, berkesan serta tidak sia-sia,” katanya.

Beliau berkata, demikian merujuk kepada laporan media bertajuk ‘Rakyat Kelantan degil, polis akan ketatkan sekatan’.

Takiyuddin menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mematuhi PKP yang telah dilanjutkan tempohnya sehingga 14 April.

“Saya berharap kesabaran kita menghadapi tempoh getir dan mencabar ini mampu menyelamatkan nyawa semua rakyat Malaysia daripada terus diserang virus COVID-19 yang amat berbahaya serta membawa maut ini,” katanya.

 – Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-