Sunday, March 29, 2020

KKM: 7 lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia


Kementerian Kesihatan memaklumkan tujuh lagi pesakit meninggal dunia akibat Covid-19, dalam tempoh 24 jam terakhir.

Ia menjadi bilangan kematian tertinggi dalam sehari setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah kematian setakat ini kepada 34 orang.

Beliau juga berkata, sebanyak 150 kes baru direkodkan setakat tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 2,470.

Berikut merupakan tujuh mangsa tersebut:

Pesakit 2321 (kematian ke-28)

Perempuan warga Malaysia berusia 91 tahun. Memiliki latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Beliau dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 26 Mac, dan disahkan meninggal dunia pada pukul 8.48 pagi, 28 Mac.

Pesakit 2123 (kematian ke-29)

Perempuan warga Malaysia berusia 64 tahun. Memiliki latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Beliau dirawat di Hospital Tuanku Ja'far Negeri Sembilan pada 25 Mac, dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.15 malam, 28 Mac.

Pesakit 2322 (kematian ke-30)

Lelaki warga Malaysia berusia 27 tahun. Mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Beliau dirawat Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada 27 Mac, dan disahkan meninggal dunia pada pukul 7.44 malam, 28 Mac.

Pesakit 1239 (kematian ke-32)

Lelaki warga Malaysia berusia 50 tahun. Memiliki latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau merupakan peserta himpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling Kuala Lumpur.

Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hjh Kalsom, Johor pada 22 Mac, dan disahkan meninggal dunia pada pukul 7.44 malam, 28 Mac.

Pesakit 1249 (kematian ke-33)

Lelaki warga Malaysia berusia 37 tahun. Mempunyai sejarah perjalanan ke negara India.

Beliau dirawat di Hospital Permai, Johor pada 21 Mac, dan disahkan meninggal pada pukul 11.25 malam, 28 Mac.

Pesakit 787 (kematian ke-34)

Lelaki warga Malaysia berusia 77 tahun. Memiliki latar belakang penyakit darah tinggi.

Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac, dan disahkan meninggal pada pukul 10.40 pagi, 29 Mac.

Noor Hisham menyampaikan ucapan takziah Kementerian Kesihatan kepada keluarga mangsa.

Beliau berkata kadar kematian meningkat kerana faktor usia pesakit yang sudah lanjut, mempunyai penyakit lain seperti kencing manis, dan datang mendapatkan rawatan ketika jangkitan sudah di peringkat akhir, iaitu dengan gejala melibatkan kesukaran bernafas dan jangkitan kuman.

Katanya lagi, daripada 150 kes baru, sekitar 61 kes mempunyai kaitan dengan himpunan di Masjid Seri Petaling.

Katanya lagi, banyak kluster yang ada ekoran jangkitan generasi keempat dan kelima daripada kluster Seri Petaling.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan seramai 68 pesakit sudah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 388 kes.

"Sehingga kini, 73 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan 52 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya lagi.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-