Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Saturday, March 28, 2020

Pakej PRIHATIN: Malaysia jauh lebih baik dari negara lain

Harap majikan tak ambil kesempatan pakej rangsangan ekonomi
28/03/2020

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 3 Syaaban 1441H, Sabtu – Malaysia jauh lebih baik berbanding negara lain termasuk Indonesia dan India dalam menumpukan kebajikan rakyat ketika krisis penularan COVID-19, melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan, semalam.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, pakej rangsangan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu jauh lebih banyak daripada apa yang beliau jangkakan.

Menyifatkan kerajaan cakna dengan keadaan semasa rakyat ketika ini, beliau berkata, PRIHATIN adalah pakej rangsangan menyeluruh dan bersifat inklusif kepada semua rakyat, termasuk kumpulan M40.

“Pakej ini adalah kerjasama yang baik antara kerajaan dan institusi kewangan dan syarikat milik kerajaan (GLC). Ianya pakej yang memberi tumpuan kepada rakyat.

“Seperti kenyataan Menteri Kewangan sebelum ini, di mana kedudukan fiskal negara memang kukuh – di mana rizab negara adalah RM400 bilion. Maka, tempoh genting seperti sekarang, rizab ini perlu digunakan demi menolong rakyat dan memulihkan ekonomi negara selepas Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Muhyiddin dalam perutusan khasnya semalam, mengumumkan sejumlah RM250 bilion diperuntukan oleh kerajaan yang mana memperlihatkan hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan, termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Manakala, sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Dr Abu Sofian bagaimanapun tidak menafikan kemungkinan ada sektor atau industri yang mendapat manfaat secara terus melalui pakej ini, namun mengharapkan pihak majikan tidak mengambil kesempatan.

“Majikan sepatutnya menyokong dan menolong kerajaan memulihkan ekonomi negara, sebagai contoh jika ada pemilik bangunan boleh mengurangkan atau kecualikan sewa bulanan dalam dua hingga tiga bulan kepada penyewa supaya mereka boleh mengurangkan beban operasi mereka.

“Insya-Allah sekiranya semua pihak memainkan peranan mereka, pakej rangsangan dapat memulihkan ekonomi dan seterusnya kerajaan dapat menjana pendapatan serta memberikan Bajet 2021 yang lebih memberangsangkan.

“Sama-samalah kita doakan semoga wabak ini segera berakhir dan Malaysia kembali mengaktifkan ekonominya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-