Thursday, April 2, 2020

Duduk di rumah, 2 minggu ini amat penting, kata KP Kesihatan

Nur Hasliza Mohd Salleh
-April 2, 2020 7:13 PM

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, fasa kedua PKP yang bermula semalam hingga 14 April ini menjadi penentu sama ada negara berupaya mendatarkan keluk data jangkitan Covid-19.

PUTRAJAYA: Tempoh 2 minggu pada fasa kedua perintah kawalan pergerakan (PKP) amat penting untuk mengubah keadaan sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, fasa kedua PKP yang bermula semalam hingga 14 April ini menjadi penentu sama ada negara berupaya mendatarkan keluk data jangkitan Covid-19 pada akhir minggu pertama atau minggu ke-2 bulan ini.

Katanya, sekiranya anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing dengan berada di dalam rumah, kerap mencuci tangan dan mengamalkan penjarakkan sosial, perkara itu boleh dicapai.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pembertita sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencadangkan supaya tempoh lanjutan tempoh PKP.

Beliau berkata, sehingga kini pihak kementerian menjangkakan PKP akan berakhir seperti tarikh yang diumumkan.

Bagaimanapun katanya, beberapa hari sebelum tempoh PKP yang dijadualkan berakhir kementerian akan meneliti keadaan terkini jangkitan virus tersebut.

“Apa yang boleh saya cakap (sekarang), ia bertambah baik.

“Tapi masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada fasa ke-2 PKP, didapati 40% pesakit terdiri daripada kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, manakala baki yang kain merupakan ”kes diimport” (kes dari luar negara).

Tambahnya, sehingga kini sebanyak 18,826 saringan dibuat dengan 15,380 sampel dibawa ke makmal.

Daripada angka itu, 1,407 adalah kes positif, 10,000 kes negatif dan 3,773 kes masih menunggu keputusan.

“Manakala itu yang belum disaring sebanyak 3,400 kes,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-