Sunday, April 5, 2020

Dunia masih mencari penawar Covid-19

@news
-April 5, 2020


KUCHING: Dunia masih mencari penawar pandemik Covid19 walaupun kajian demi kajian dijalankan namun belum ada jalan penyelesaian.

Apa yang pasti dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut diteruskan sehingga menemui jalan penyelesaian. Masih adakah sinar harapan untuk menemui penawar virus maut itu?.

Di Amerika Syarikat (AS), sekumpulan penyelidik dari Fakulti Perubatan, University of Pittsburgh, Pennsylvania mendakwa mereka berkemungkinan sudah menemui vaksin selepas kajian yang dijalankan pada tikus makmal didapati membuahkan hasil.

Prof Madya Andrea Gambotto juga penulis kanan kajian itu berkata, vaksin yang dihasilkan daripada protein ‘spike’ itu mengeluarkan sejenis antibodi pada kuantiti yang mencukupi untuk meneutralkan virus.

“Virus-virus ini berkait rapat dengan Sars-CoV-2, dan membuktikan bahawa protein tertentu mampu menghasilkan imuniti kepada virus,” katanya.

Bagi meningkatkan keberkesanan vaksin tersebut, beliau berkata protein itu sepatutnya hadir dalam bentuk kepingan yang terdiri daripada 400 jarum mikro yang terus larut ke dalam kulit.

Jelasnya, prototaip vaksin yang diberi nama PittCoVacc itu kini sedang diuji pada tikus makmal dan dapatan menunjukkan ia mampu menghasilkan antibodi bagi melawan Covid19 kira-kira dua minggu kemudian.

Difahamkan, kajian bagi vaksin itu telah diljalankan sejak 21 Januari lalu. Sementara itu, pakar vaksin negara itu berkata, keberkesanan sesuatu vaksin untuk melawan Covid-19 akan mengambil masa selama 12 hingga 18 bulan.

Namun, pusat perubatan universiti itu berkata, tempoh itu juga bergantung kepada kelulusan dan maklum balas daripada pihak kerajaan persekutuan. Jelasnya lagi, penemuan vaksin itu bakal mendapat kelulusan segera.

Kini terdapat sejumlah 1,015,964 kes yang telah dilaporkan di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, terdapat lebih 245,000 kes positif Covid19 yang dilaporkan setakat ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-