IBU bapa dan penjaga kepada remaja di bawah umur 18 tahun yang ditangkap kerana engkar Perintah Kawalan Pergerakan juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ibu bapa dan penjaga terbabit ternyata mengabaikan anak-anak mereka sehingga mendedahkan remaja terbabit terhadap bahaya jangkitan COVID-19.
Ibu bapa dan penjaga terbabit boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak.
“Remaja-remaja yang berumur 18 tahun ke bawah yang engkar PKP bila dikenakan tindakan, penjaga atau ibu-bapa juga boleh diambil tindakan.
“Kerana abai menjaga anak-anak mereka dan mendedahkan mereka kepada bahaya iaitu jangkitan COVID-19 dibawah Akta Kanak-Kanak,” ciap Musa di Twitternya.
Ketika ini mereka yang ditahan kerana engkar arahan PKP boleh didakwa di bawah Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Peraturan 7, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap tertuduh.
-SM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.