Wednesday, April 8, 2020

Khidmat Ean sebagai pengerusi PKA ditamatkan


Menteri Pengangkutan, Dr Wee Ka Siong, menamatkan khidmat Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Kelang (PKA) berkuat kuasa 1 Apr lalu.

Mengesahkan hal itu Ean berkata surat daripada Wee itu diterimanya pada petang tadi.

"Saya telah menerima surat penamatan pelantikan sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Kelang yang berkuat kuasa pada 1.4.2020 petang tadi," katanya melalui hantaran di media sosial.

Turut dimuat naik bersama kenyataan itu ialah gambar surat dimaksudkan Ean.

Berdasarkan dokumen itu Wee yang juga presiden MCA berkata langkah menamatkan khidmat Ean itu selaras dengan pembentukan kerajaan baru pada 9 Mac lalu.

"Kementerian ini telah meneliti dan menyemak semula keanggotaan semua pengerusi dan ahli lembaga pengarah badan berkanun persekutuan dan agensi-agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

"Sehubungan dengan itu adalah diputuskan bahawa perkhidmatan YB sebagai pengerusi lembaga pengarah Lembaga Pelabuhan Kelang ditamatkan berkuat kuasa 1 April 2020," katanya.

Menurut Ean beliau mengucapkan terima kasih kepada semua warga PKA yang memberi kerjasama kepadanya sepanjang tempoh memegang jawatan berkenaan.

"Akhir sekali, saya juga merakamkan penghargaan kepada warga industri logistik dan operator Pelabuhan Kelang atas sokongan yang diberikan bagi meneruskan misi kita menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan yang terunggul di rantau ini," katanya.

Ean, 41, dilantik sebagai pengerusi PKA pada 18 Mei tahun lalu.

Bekas exco Selangor itu merupakan Adun Seri Kembangan untuk penggal ketiga.

Semasa pentadbiran BN sebelum ini jawatan pengerusi PKA memang diisi pemimpin kanan MCA.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-