Thursday, April 2, 2020

'Tembak saja... ' - Duterte

MyMetro
Agensi
Rodrigo Duterte. FOTO Arkib NSTP

Manila: Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengarahkan polis dan tentera negara itu untuk melepaskan tembakan, jika ada individu mengganggu pelaksanaan perintah berkurung di negara itu.

Al Jazeera melaporkan beliau menyatakan sedemikian dalam mesej yang disiarkan di stesen televisyen negara berkenaan, pada malam Rabu.

“Biar ini jadi amaran kepada semua. Ikuti arahan pihak berkuasa sebab penting untuk kita ikut arahan,” katanya.

Duterte juga mengingatkan rakyat supaya tidak mengganggu tugas pihak berkuasa dalam menangani wabak Covid-19 di negara itu.

“Jangan ganggu pekerja kesihatan, doktor... kerana itu adalah jenayah serius. Arahan saya kepada polis dan tentera, jika ada yang cuba buat onar dan keselamatan mereka tergugat... tembak mati mereka.

“Jangan menakut-nakutkan pihak berkuasa. Jangan cabar kerajaan. Anda akan kalah,” katanya dalam ucapan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Tagalog.

Sebelum ini, kerajaan mengarahkan penduduknya berada di rumah dan Manila pula dikenakan sekatan pergerakan masuk dan keluar bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan bahawa ada segelintir penduduk setinggan di ibu negara itu cuba melakukan demonstrasi kerana mendakwa kekurangan bekalan makanan.

Penduduk di Quezon City di sini, umpamanya melakukan protes di lebuh raya berhampiran kawasan setinggan mereka selepas mendakwa tidak mendapat bantuan makanan sejak perintah berkurung itu dikuatkuasakan, dua minggu lalu.

Polis mengarahkan mereka pulang ke rumah, namun mereka tidak mahu berbuat demikian.

Susulan kejadian, pihak berkuasa menahan 20 orang.

Setakat semalam. Filipina merekodkan 2,311 kes Covid-19 dengan 96 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 1:17 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-