Saturday, May 30, 2020

Eksport minyak sawit naik selepas India sambung pembelian

Robin Augustin
-May 30, 2020 9:54 AM

India bersetuju membeli 200,000 tan minyak sawit dari Malaysia minggu lalu.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis minyak sawit meramalkan prospek untuk eksport minyak sawit negara ke India terus meningkat susulan laporan pengimport di negara Asia Selatan itu minggu lalu menandatangani perjanjian untuk membeli 200,000 tan komoditi itu.

Sathia Varqa yang berpangkalan di Singapura memberitahu FMT, pengeluar Malaysia akan mendapat manfaat besar memandangkan harga minyak sawit mentah kini mencecah RM2,300 setan.

Beliau mengaitkan penyambungan permintaan dari India itu kepada penukaran kerajaan di Malaysia 3 bulan lalu.

Pembelian India terjejas selepas bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan New Delhi dalam beberapa isu, termasuk dasarnya ke atas Kashmir dan undang-undang kerakyatan penuh kontroversi.

Sathia berkata, harga minyak sawit mentah boleh mencecah RM2,400 setan, jika India dan China mengekalkan pembelian mereka.

“Ini dilihat mungkin berlaku ketika kedua-dua negara melonggarkan sekatan dan menyambung semula penyimpanan bekalan.

“Stok minyak makan India kini sangat rendah dan di tahap defisit selama 11 bulan berturut-turut dari tahun ke tahun.”

Awal minggu ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyuarakan keyakinan terhadap harga komoditi itu akan mencecah RM2,300 hingga RM2,400 setan dalam beberapa bulan akan datang hasil hubungan diplomatik lebih baik dengan India.

Sathia berkata, Malaysia mempunyai kelebihan berbanding Indonesia kerana eksport minyak sawit republik itu tertakluk kepada levi eksport yang meningkat sebanyak AS$5 kepada AS$55, manakala cukai eksport minyak sawit Malaysia akan dikurangkan daripada 4.5% sekarang kepada 0%.

Bagaimanapun, katanya, harga mungkin merosot pada suku terakhir tahun ini dengan pengeluaran memuncak dan stok bertambah.

Beliau berkata, rancangan kerajaan untuk menyambung semula program biodiesel B20 pada September ini, selepas membatalkannya akibat perintah kawalan pergerakan akan membantu permintaan untuk minyak sawit.

“Tetapi, sama ada ini boleh dilaksanakan ialah perkara lain disebabkan harga rendah minyak mentah dan harga tinggi minyak sawit, yang bermakna kos pengeluaran biodiesel adalah tinggi.”

Beliau menganggarkan dengan harga ketika ini, kerajaan akan perlu memberi subsidi kepada program biodiesel sebanyak AS$400 juta untuk menandingi harga diesel.

Jika masalahnya ialah mengekalkan permintaan, katanya, kerajaan perlu memilih perjanjian perdagangan dua hala, diskaun untuk pasaran membangun terpilih, mewujudkan mekanisme pembiayaan untuk menjadikan biodiesel lebih mampan dan mempromosikan penggunaan minyak sawit secara agresif.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-