Friday, May 29, 2020

Hamzah senaraikan aduan salah laku terhadap Dr M

Adam Abu Bakar
-May 29, 2020 5:55 PM

Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainudin.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin hari ini menyenaraikan aduan salah laku terhadap Dr Mahathir Mohamad, yang hari ini menegaskan beliau masih ahli dan pengerusi parti itu.

Antara salah laku itu adalah Mahathir mengumumkan untuk masih bersama-sama dengan Pakatan Harapan sebaik sahaja kerajaan Perikatan Nasional dibentuk bawah kepimpinan Presiden Muhyiddin Yassin.

Seterusnya, Mahathir pada 4 Mei membuat kenyataan bersama dengan ketua-ketua parti komponen Pakatan Harapan mendesak sidang Parlimen dilanjutkan, dan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin yang dilantik dengan sah oleh Agong.

“Mahathir pada 18 Mei juga mengadakan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bersama beberapa pemimpin PH dengan membuat pengumuman untuk terus berusaha menjatuhkan Muhyiddin sebagai perdana menteri,” katanya pada sidang media hari ini.

Sidang media ini diadakan tidak lama selepas Mahathir mengadakan sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.

Terdahulu, satu video dimuat naik di Facebook memaparkan Mahathir menunggu mereka yang mahu memecatnya di pejabat pengerusi parti.

Semalam, dalam surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya, keahlian Mahathir dihentikan serta-merta selepas mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Turut digugurkan anaknya, Mukhriz, serta Syed Saddiq, Maszlee Malik, dan Amiruddin Hamzah.

Hamzah menegaskan mereka tidak dipecat daripada parti, tetapi keahlian mereka “terhenti” kerana melanggar perlembagaannya.

“Ini berlandaskan perlembagaan parti kerana kepentingan parti adalah lebih utama dari mana-mana individu. Tiada sesiapa mengatasi undang-undang apabila parti mempunyai perlembagaannya sendiri,” katanya.

Mengenai aduan salah laku terhadap Mahathir, Hamzah berkata Pengerusi Lembaga Disiplin Megat Najimuddin memaklumkan ia “tidak lagi relevan” untuk dibawa ke lembaga itu “apabila kedudukan keahlian mereka terhenti” mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-